DSLR kegilaan baru fotografi


KEGILAAN terhadap kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) di kalangan rakyat negara ini semakin meningkat.

Sebut sahaja apa jua jenama DSLR pastinya ada peminat serta pengikutnya yang tersendiri , namun apakah yang membezakan di antara satu-satu jenis DSLR pada kaca mata pengguna.

Kini rata-rata pengeluar siri kamera DSLR tersebut bukan sahaja berlumba-lumba meningkatkan teknologi kamera mereka agar ia lebih mudah dan ringkas digunakan di samping mampu menghasilkan kualiti gambar yang terbaik.

Terdapat pelbagai pilihan DSLR dewasa kini yang boleh dijadikan 'teman' anda untuk merakam saat-saat indah bergantung kepada kemampuan dan kemahiran seseorang itu menggunakannya.

Tetapi, apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai kamera DSLR? Hampir semua kamera DSLR yang ada pada hari ini merupakan kamera digital yang menggunakan sistem cermin mekanikal dan pentaprisma.
Secara asasnya sistem tersebut digunakan untuk memandu cahaya secara terus dari lensa kepada penderia dan juga pencari paparan (viewfinder) yang terdapat pada bahagian belakang kamera.

DSLR merupakan pilihan utama jurugambar imej tetap (still photo) kerana ketepatan paparan yang dilihat pada dedahan (exposure) di dalam kamera semasa merakam dan menghasilkan imej seperti yang dilihat di dalam kamera.

Malah, penggunaan pelbagai lensa mampu meningkatkan kreativiti jurugambar dan mampu menghasilkan pelbagai imej yang menakjubkan.

Selain itu, kebanyakan DSLR juga turut memiliki fungsi yang membolehkan pandangan (preview) yang tepat untuk paparan dalaman medan (depth of field).

Rata-rata, jurugambar profesional lebih memilih DSLR berikutan ia memiliki penderia (sensor) yang lebih besar berbanding dengan kamera kompak dan secara umumnya penderia DSLR juga hampir menyamai saiz kamera filem tradisional yang kebiasaannya digunakan oleh jurugambar profesional apabila mula 'terjun' ke bidang fotografi.

Sama ada siri-siri kamera DSLR yang dikeluarkan oleh jenama-jenama kamera ini baru mahupun lama namun kegilaan terhadap gajet ini dilihat berterusan sehingga kini dan mempunyai peminat serta pengikutnya yang tersendiri.

Sumber: http://www.utusan.com.my/
DSLR kegilaan baru fotografi

bakat no 3 atau 4. yang peting ada duit beli dslr walaupun snap photo mcm pakai digital camera je. call it modern world.

@FyzalHaha. Betul tu. Tak ada duit nak beli kamera DSLR macam mana nak datang bakat.