Berang dituduh ejen Mossad, Ahli Parlimen keluar pistol


AMMAN 8 Julai - Satu program temu bual secara langsung di sebuah stesen televisyen Jordan melibatkan dua anggota parti politik berbeza, bertukar huru-hara apabila seorang daripada mereka mengeluarkan sepucuk pistol.
Kejadian itu berlaku apabila Ahli Parlimen, Mohammad Shawabka dan aktivis politik, Mansour Sayf al-Din Murad menjadi panel untuk isu pemberontakan Syria di stesen swasta, Josat.
Kedua-dua lelaki itu pada awalnya memaki hamun antara satu sama lain, sebelum menuduh masing-masing menjalankan aktiviti jenayah.
Ia memuncak selepas Murad menuduh Shawabka sebagai ejen perkhidmatan rahsia Israel, Mossad.
Pengacara rancangan itu, Mohammed Habashneh dilihat berusaha mengawal situasi termasuk berada di tengah-tengah kedua-dua lelaki berkenaan, dalam rancangan yang disiarkan kelmarin.
Ketika Habashneh cuba mengawal keadaan, Murad menolak jatuh meja dan meluru ke arah Ahli Parlimen berhaluan kanan itu.
Pada saat itulah, Shawabka mencapai ke dalam jaketnya dan mengeluarkan sepucuk pistol revolver.
Sebelum itu, Shawabka turut melempar kasutnya ke arah Murad.
Kedua-dua lelaki itu terus menjerit dan menolak antara satu sama lain apabila rancangan itu berakhir dan Shawabka kemudian dapat dilihat menyimpan semula pistol tersebut di pinggangnya.
Tiada siapa cedera dalam kejadian itu dan tidak dapat dipastikan sama ada senjata api tersebut adalah pistol sebenar. - AGENSI
Berang dituduh ejen Mossad, Ahli Parlimen keluar pistol