BN sedia ditolak jika mungkir janji


Tema sambut kemerdekaan berlandas tuntutan agama: Najib

Datuk Seri Najib Razak menegaskan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya bersedia ditolak rakyat jika gagal menunaikan janji yang dibuat. Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, komitmen gabungan parti berkenaan untuk membela dan memelihara kepentingan rakyat bukan suatu permainan politik, sebaliknya prinsip yang turut dituntut Islam.
Komitmen gabungan parti BN untuk membela, memelihara kepentingan rakyat bukan suatu permainan politik”. - Najib Razak, Perdana Menteri
Katanya, tema Hari Kebangsaan tahun ini ‘55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati’, juga bukan retorik politik sebaliknya berlandas tuntutan agama.

Berpaksi rukun agama

“Tema itu bukti Kerajaan BN berpegang kepada al-Quran dan Sunnah dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Tema itu berpaksikan rukun agama, kita berjuang untuk tepati janji kepada rakyat. Kita tepati janji untuk beri kepercayaan pada rakyat... kita juga mahu buktikan negara kita negara Islam contoh.

“Sehubungan itu, kita tak perlu tukar tema Hari Kemerdekaan. Kita tak boleh cakap, tapi tak boleh buat seperti kata orang Terengganu ‘kecek ngelak’,” katanya ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Padang Nenas yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di sini, semalam.
Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada warga tua, orang miskin, anak yatim, orang kurang upaya dan ibu tunggal pada majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

 Najib yang kemudian menunaikan solat Maghrib bersama penduduk di Masjid Kampung Padang Nenas, disusuli solat Isyak dan Tarawih di Masjid Wakaf Tembesu, berkata ‘Janji Ditepati’ bukan tema politik, tetapi berpaksi kepada hukum dan prinsip Islam yang jika tidak ditunaikan, boleh dianggap munafik.

Pertahan BN

Sementara itu, Ahmad ketika berucap pada majlis sama, mahu BN dipertahankan kerana sudah terbukti ia berjaya membentuk kerajaan yang mampu membela nasib rakyat.

“Kita maklum selama ini PAS tidak pernah buat apa-apa untuk membela nasib rakyat. Mereka hanya suka berjanji tetapi tidak ditepati. Saya harap rakyat tidak berbelah-bahagi menyokong kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan BN melaksana pelbagai program seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia, memberi imbuhan kepada peneroka dan sebagainya demi memastikan kebajikan rakyat terjaga.

Sumber: http://www.bharian.com.my/

BN sedia ditolak jika mungkir janji