Kepala berlubang disambar petir


Kepala seorang pemandu lori berlubang kecil dengan kesan terbakar sejurus rumah kongsi di sebuah ladang di Ulu Sungai Endau, dekat sini disambar petir, serentak ketika dia mencabut pengecas telefon bimbitnya, kelmarin.

Kejadian di Ladang Sungai Merbau milik Yayasan Pahang, kira-kira jam 7 petang itu menyebabkan Mohd Nazrun Othman, 27, meninggal dunia sejurus tiba untuk rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Endau. Rakan parah
Rakannya, Muhammad Ikhwan Muhammad, 19, yang berdiri berdekatan ketika kejadian, parah dan dihantar ke Hospital Mersing sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Bagaimanapun, seorang rakan mereka, Johari Mohd Sood, 41, terselamat.

Dinding rumah pecah

Ketika ditemui di Hospital Mersing, malam kelmarin, Johari berkata, kejadian itu menyebabkan soket elektrik terbakar, manakala dinding rumah kongsi mereka pecah hingga pelbagai barangan berselerak sejurus kejadian.

“Sejurus dentuman guruh dan kilat menyambar, saya lihat dua rakan terpelanting sambil menggelupur dan mengerang kesakitan... saya tak mampu buat apa-apa ketika suara Nazrun semakin lemah kecuali bergegas mendapatkan bantuan rakan lain di ladang untuk menghantar mereka mendapatkan rawatan,” katanya.
Ketua Polis Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Selendang 1, Rompin.

Sementara itu, BH tidak dapat menemubual ibu bapa mangsa kerana pasangan itu masih dalam keadaan terkejut dan terlalu bersedih dengan kejadian menimpa anak lelaki tunggal mereka, hanya beberapa minggu lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.

Termenung

Ibu saudara mangsa, Mariani Omar, 30, yang ditemui di rumahnya di FELDA Selendang, Rompin, bagaimanapun memak-lumkan, Nazrun kelihatan berat hati untuk pergi bekerja pada pagi kejadian dan termenung di muka pintu sebelum beredar dengan motosikal.

“Dia sempat berkata mahu menyelesaikan kerjanya sebelum bercuti sempena Nuzul Quran. Tak sangka dia meninggalkan kami dalam suasana Ramadan ini. Kami amat terasa kehilangannya kerana dia anak lelaki tunggal daripada enam beradik dalam keluarganya,” katanya.

Sumber: http://www.bharian.com.my/
Kepala berlubang disambar petir