Meninggal dunia selepas tersepit hampir 30 minit


Seorang lelaki maut selepas tersepit hampir setengah jam dalam kereta dipandunya yang bertembung dengan sebuah lori 10 tan dalam kemalangan di Jalan Chienta Mata, Kilometer 4, Tenom-Kemabong, dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 5.45 petang itu berlaku ketika mangsa, Jhonli Thomas, 33, yang memandu Proton Satria dalam perjalanan dari Tenom menuju ke kampungnya di Kampung Baru Jumpa Kemabong, dekat sini.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah lori 10 tan yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba merempuh kereta mangsa menyebabkannya tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian. Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Mazlan Lazim berkata, pemandu lori berkenaan dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh di tempat kejadian.

“Lori yang hilang kawalan itu memasuki lorong bertentangan lalu merempuh Proton Satria terbabit. Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit dalam kenderaannya yang remuk,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa gagal diselamatkan akibat pendarahan yang banyak di seluruh badan termasuk kepala.

“Bagaimanapun, pemandu lori itu terselamat dan ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang ke kampung, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai berhati-hati ketika memandu terutama pada musim perayaan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tenom, Runzee Abd Thani berkata, pihaknya menerima panggilan kemalangan itu pada jam 6.07 petang membabitkan dua kenderaan.

“Sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan sebaik tiba, mangsa tersepit dalam kenderaannya dan kami mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang didapati sudah tidak bernyawa,” katanya.


Sumber: http://www.hmetro.com.my/
Meninggal dunia selepas tersepit hampir 30 minit