Putus 2 jari akibat mercun bola


Seorang kanak-kanak lelaki, Mohd Shafiq Afandi Ramlee, 5, putus dua jari tangan kiri (jari tengah dan jari manis) terkena letupan mercun bola ketika bermain bersama kakak dan rakannya di Kampung Kolam Emas dekat sini semalam.
 
Kejadian berlaku pada 9.30 pagi di hadapan sebuah rumah jiran yang hanya terletak 30 meter dari rumahnya, apabila mercun bola yang dipegang mangsa meletup sebaik sumbu dicucuh seorang rakannya.
 
Kakak mangsa, Nor Ayuni, 16, berkata sebelum kejadian adiknya itu keluar bersama seorang lagi kakaknya, Nor Atirah, 9, pergi ke rumah jiran untuk bermain mercun yang dipercayai dibeli dari kedai tidak jauh dari situ.
 
Katanya hanya 15 minit mereka berdua pergi terus terdengar bunyi letupan mercun dengan kuat dan selepas itu bunyi tangisan suara adiknya.
 
"Saya yang rasa bimbang dengan keselamatan mereka berdua cuba keluar ke tepi jalan dan ternampak seorang jiran membawa pulang Mohd Shafiq Afandi dalam keadaan tangan kiri berbalut serta berlumuran darah," katanya ketika di temui di rumahnya, hari ini.

Nor Ayuni berkata kejadian itu dimaklumkan kepada kedua ibu bapanya dan menyuruh beliau segera menghantar Mohd Shafiq Afandi ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk mendapat rawatan.
 
Katanya beliau sempat melihat hujung dua daripada lima jari adiknya itu putus hingga keadaan kulitnya terkoyak di samping tiga lagi jari hangus.
 
"Rasa takut melihat keadaan luka parah dijari Mohd Shafiq Afandi itu, tetapi dia dalam keadaan terkejut turut diam semasa mendapat rawatan di hospital berkenaan," katanya.
 
Beliau berkata sebelum ini adiknya itu tidak pernah bermain mercun, tetapi biasa bermain bunga api kerana takut dengan bunyi letupan kuat.

Sumber: www.klpos.com/

0 comment... add one now