Sindiket menggodam E-mel:Kerugian Cecah RM7.3 Juta


Polis membongkar sindiket menggodam e-mel syarikat yang menjalankan transaksi perniagaan secara atas talian bagi memintas pembayaran secara penipuan hingga menyebabkan kerugian setakat ini mencecah RM7.3 juta.

Kegiatan itu dikesan sejak 2010 iaitu sindiket menukar nombor akaun bayaran sesebuah syarikat melalui pintasan e-mel supaya bayaran dimasukkan ke dalam akaun 'keldai' yang digunakan sindiket itu.

Ketua Unit Siasatan Perisian Komputer Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman DSP Mohamad Lazim Ismail berkata penipuan itu boleh menjejaskan imej syarikat yang beroperasi dalam negara yang berdagang secara telus dengan syarikat antarabangsa serta menyukarkan aktiviti perniagaan kedua-dua belah pihak.


"Urus niaga perniagaan kedua-dua syarikat melibatkan pembayaran dalam talian. Malangnya sindiket tersebut telah memesongkan nombor akaun bayaran sesebuah syarikat itu melalui pintasan e-mel yang dibuat oleh anggota sindiket atau keldai akaun," katanya kepada Bernama.

Ini mengakibatkan syarikat di Malaysia menuduh syarikat antarabangsa tidak melakukan pembayaran dan apabila semakan dibuat, kedua-dua syarikat ini sebenarnya telah ditipu apabila nombor akaun yang dihantar syarikat antarabangsa kepada syarikat di sini telah pun ditukar, katanya.

Mohamad Lazim berkata syarikat antarabangsa yang berurusan dengan syarikat di Malaysia antaranya dari India, Arab Saudi, Korea Selatan, Itali, Mexico dan China.

Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan syarikat perlu sentiasa memastikan setiap e-mel yang dihantar kepada rakan urus niaga mesti menggunakan kaedah 'encryption' di mana penerima haruslah memasukkan kod keselamatan untuk membukanya.

"Urus niaga yang dilakukan juga tidak seharusnya dilakukan menerusi e-mel semata-mata tetapi menggunakan kemudahan lain seperti telefon dan faksimili," katanya.

"Jadi saya nasihatkan apa-apa pun ikut pendekatan cara tradisional, setiap perkara yang sudah selesai dibuat, kedua-dua pihak perlu menelefon kembali untuk bertanyakan kata laluan yang sama dibuat kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata bagi awal tahun ini sehingga 15 Jan lepas, tujuh kes dilaporkan melibatkan kerugian RM907,384.

Mohamad Lazim berkata sepanjang 2012 sebanyak 32 kes dilaporkan melibatkan kerugian RM4.6 juta (RM4,636,487.83) berbanding RM960,150 untuk tempoh 2011 dengan lima kes dan RM800,000 (2010) enam kes dilaporkan.

"Jadi jumlah keseluruhan sejak kes ini mula memasuki Malaysia pada 2010 ia mencatatkan jumlah kerugian RM7,303,871.75 dengan 50 kes dilaporkan.

"Peningkatan angka ini agak membimbangkan dan kami tidak mahu Malaysia menjadi hab sindiket asing yang kami percaya didalangi warga Afrika, jadi syarikat tempatan perlu tahu dan mula mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak tertipu dalam urusan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata modus operandi kes penipuan atas talian bermula apabila syarikat A (syarikat antarabangsa) membuat urusan perniagaan dengan syarikat B dan pembayaran wang dibuat antara kedua-dua buah syarikat melalui penghantaran arahan menerusi e-mel.

"E-mel yang dihantar syarikat B mengandungi arahan pembayaran dan juga nombor akaun bank di mana bayaran sepatutnya dimasukkan, dan dalam situasi ini sindiket akan menggodam dan mengubah nombor akaun yang terdapat dalam e-mel yang dihantar syarikat B.

"Sindiket akan memasukkan nombor akaun baharu milik mereka tanpa pengetahuan syarikat B. Apabila syarikat A menerima e-mel tersebut terus membuat pembayaran seperti dalam arahan e-mel tanpa menyedari nombor akaun tersebut telah diubah sindiket asing," katanya.

Beliau berkata syarikat tempatan yang berurus niaga dengan syarikat antarabangsa kebanyakannya menjual barangan seperti tekstil, bahan kimia, bahan sejuk beku, bijiran, bawang dan cili kering.

Beliau turut meminta orang ramai atau syarikat yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan agar menghubungi urus setia JSJK di talian 03-26163972 pada waktu pejabat, atau bilik gerakan di talian 03-26163999 selepas waktu pejabat.


Sindiket menggodam E-mel:Kerugian Cecah RM7.3 Juta