Kad diskaun pesara kerajaan


Kad diskaun untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu akan diperluaskan kepada 725,000 pesara kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perluasan kad diskaun atau 1Malaysia Privilege Card tersebut akan membolehkan pesara kerajaan menikmati diskaun istimewa ketika membeli barang atau mendapat perkhidmatan di kedai-kedai yang menyertai program itu.

"Kad diskaun yang diberikan kepada polis dan tentera akan dipanjangkan kepada pesara, jadi boleh gunakan di kedai-kedai terlibat," katanya ketika berucap dalam perjumpaan dengan pesara kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

1Malaysia Privilege Card yang dilancarkan pada tahun lalu membolehkan warga ATM dan PDRM mendapat diskaun antara lima hingga 25 peratus daripada harga belian barangan atau perkhidmatan.

Antara premis yang menawarkan diskaun untuk 1Malaysia Privilege Card ialah syarikat minyak BHP, pasar raya Mydin, kedai makanan segera KFC, Jakel Karpet, LegoLand dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan tidak pernah melupakan kumpulan pesara setiap kali melakukan penyelarasan dalam gaji penjawat sektor awam.

Beliau berkata. kerajaan juga bersedia menambahkan pencen untuk pesara kerajaan sekiranya negara mempunyai hasil yang mencukupi.

"Tidak ada masalah untuk tambah (pencen) tetapi kena cari hasil dan kembangkan ekonomi negara dahulu supaya kita tidak muflis seperti Greece dan Cyprus.

"Malaysia tidak pernah meminta sedekah dari mana-mana pihak. Semasa krisis kewangan 1997 pun, kita menggunakan cara sendiri untuk memulihkan ekonomi," katanya.

Perhimpunan dengan pesara di PICC dihadiri 3,500 pesara dari seluruh negara yang penuh bersemangat memberi sokongan kepada Najib yang bakal berdepan cabaran Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.

Walaupun semua peserta telah bergelar warga emas tetapi tidak menghalang mereka membawa kain rentang yang tertulis Saya Sayang PM sebagai tanda sokongan padu terhadap kepimpinan Najib.

Para pesara turut menjawab setiap seruan Perdana Menteri dengan penuh bersemangat. Najib antaranya mahu mereka memberi sokongan penuh kepada kerajaan sedia ada.

Setiap pesara juga dilihat bersemangat dalam menyanyikan lagu patriotik Inilah Barisan Kita serta tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan bersalaman dengan Perdana Menteri.

Sumber: http://www.utusan.com.my/ Kad diskaun pesara kerajaan

1 comment... add one now

ketikketok ketikketok 7:57 PM
Dapatkan diskaun, baucar dan rebat tunai di Rakan Kop 1KUBSB. Cepat, jangan terlepas. TERHAD!