Filem-filem paling seram di asia


Anda peminat filem seram? Anda ternanti-nantikan filem seram Hong Kong "Tales from the Dark Part II" yang bakal ditayangkan Ogos ini? Anda mengaku diri anda 'horror enthusiast'?

Semua orang tahu, Asia merupakan benua yang paling 'pro' dalam genre seram. Kita punya mitos, tahyul, dan legenda. Kita juga punya pelbagai jenis spesis hantu, dari pontianak, pocong, langsuir, hantu raya, hantu kopek, jerangkung, dan lain-lain.

Malah di Jepun, anda ditakutkan dengan spesis hantu seperti onryo (hantu putus cinta), ubume (hantu mati bersalin), goryo (hantu berdendam), zashiki warashi (hantu budak), dan funayurei (hantu kapal). Itu belum masuk bab yokai dan obake lagi!

Jadi, jika anda jawab YA pada semua soalan tersebut, pasti anda sudah menonton filem-filem seram Asia seperti yang di bawah. Jika anda jawab TIDAK, kami mengesyorkan agar anda menonton semuanya!

Coming Soon (2008)

Filem ini merupakan filem arahan Sokpon Sudapisit, penulis bersama filem "Shutter" dan "Alone". Jika anda peminat filem seram Thailand, anda pasti tahu dua filem yang disebutkan itu merupakan antara filem seram Thailand paling hit di seluruh dunia.

Jika filem "Shutter" berlatarkan kisah seorang jurugambar, "Coming Soon" (yang mendapat namanya daripada perkataan yang biasa digunakan di poster untuk mengiklankan filem akan datang) berlatarkan sebuah pawagam. Ia berkisar tentang seorang operator projektor bernama Shane yang membuat salinan cetak rompak sebagai kerja sampingannya. Peristiwa aneh berlaku satu demi satu apabila rakannya hilang ketika sedang cuba membuat salinan sebuah filem tentang Shomba, hantu wanita gila yang menculik dan membutakan mata kanak-kanak.

Jika anda sukakan 'twist', filem ini sesuai untuk anda. Jangan risau, twist dalam filem ini bukan klise seperti 'rupa-rupanya dia gila' atau 'rupa-rupanya semua ini hanya mimpi'.

Jigoku (1960)

Anda mungkin menganggap filem seram Jepun tahun 60-an ini sudah terlalu lama, malah seusia dengan filem "Antara Dua Darjat"!

Tapi filem ini, arahan Nobuo Nakagawa yang dikenali dalam industri filem Jepun kerana karya-karya bergenre seram dan diilhamkan dari kisah rakyat, merupakan sebuah filem yang mungkin sesuai untuk menginsafkan anda. Malah para pengkritik memilih filem "Jigoku" (Neraka) ini kerana elemen aneh-ngeri yang sinonim dengan filem-filem Jepun zaman sekarang, seperti "Ranpo Noir" dan "Okaruto".

"Jigoku" dipersembahkan dalam dua bentuk, di mana separuh masa pertamanya dihabiskan untuk menceritakan kisah beberapa pendosa duniawi, dan separuh masa kedua menunjukkan apa yang berlaku kepada semua insan berdosa tersebut di alam akhirat. Mungkin separuh masa pertama itu agak membosankan, tapi itu hanyalah untuk mempersiapkan anda sebelum anda dikejutkan dengan imejan demi imejan, babak demi babak seksaan di neraka – menjadikan filem ini antara filem gore terawal di Jepun.

Juga mungkin buat anda ambil wuduk dan tunaikan solat dengan segera!

Ju-On: The Grudge (2002)

Sebuah rumah yang nampak normal tapi dipenuhi sejarah hitam. Hantu wanita pendendam yang memulakan kegilaan filem-filem seram dengan imej hantu merangkak. Hantu budak berwarna biru pucat yang memberi isyarat kehadirannya dengan ngiauan kucingnya yang berwarna hitam. Kejutan demi kejutan dan gangguan hantu tanpa ada sebab rasional.

"Ju-on: The Grudge" arahan Takashi Shimizu merupakan filem seram yang buat anda rasa takut kepada tangga dan bunyi ngiauan, dalam masa yang sama buat anda berkerut dahi kerana tidak tahu kenapa roh Saeki Kayako harus membunuh orang yang tidak berdosa. Sekalipun ia merupakan filem pertama yang ditayangkan di pawagam, konsep hantu 'onryo/zashiki warashi' dalam bentuk anak-beranak Saeki Kayako dan Toshio ini bermula pada tahun 1998, apabila Shimizu menghasilkan dua filem pendek berjudul "Katasumi" (filem pertama menampilkan Saeki Kayako) dan "4444444444" (filem pertama menampilkan watak Toshio).

Sekalipun ia dianggap antara filem paling menyeramkan di Jepun, malangnya, filem adaptasi Hollywoodnya tidak mendapat sambutan hangat. Ya, terima kasih Hollywood kerana memusnahkan setiap filem seram Asia yang wujud di muka bumi.

Shutter (2004)

Filem arahan Banjong Pisanthanakun dan Parkpoom Wongpoom ("4bia", "Pee Mak") ini merupakan antara filem seram Thailand pertama yang benar-benar berjaya menarik perhatian dunia, sekalipun ia merupakan filem cereka sulung arahan kedua-dua pengarah tersebut.

Filem yang dilakonkan oleh si kacak Ananda Everingham sebagai jurugambar bernama Tun ini bermula apabila kereta yang dipandu teman wanitanya Jane terlanggar seorang wanita. Tun mula mengalami kejadian-kejadian aneh yang membuatkan dia sangka ia ada kaitan dengan wanita yang dilanggar Jane. Namun apabila rakan-rakan baiknya mula membunuh diri seorang demi seorang, Tun menyedari bahawa kejadian aneh tersebut ada kaitan dengan masa lampaunya.

Filem ini turut mendapat perhatian kerana menggunakan konsep 'spiritual photography' dan turut memaparkan beberapa contoh 'foto berhantu' yang menjadi subjek kegemaran ramai. Sebuah filem adaptasi Hollywood dibuat pada tahun 2008 dan beberapa filem ciplak lain turut dihasilkan, tapi kita tidak perlu bercakap tentang filem entah apa-apa itu.

A Tale of Two Sisters (2003)

Ada banyak filem-filem seram yang datang dari Korea Selatan, dan kebanyakannya menggunakan teknik yang sama – wanita berambut panjang, syot yang nampak berseni tapi menyeramkan, dialog yang sukar difahami, perbualan yang lebih banyak menung dari interaksi, dan pengakhiran dengan twist 'masalah mental'.

"A Tale of Two Sisters" tidak ada bezanya, namun ia menjadi antara filem seram psikologi yang paling berkesan antara yang lain. Filem arahan Kim Ji-woon ("I Saw the Devil") ini berkisar sebuah keluarga dengan sejarah hitam masing-masing, secara khususnya adik-beradik Su-mi dan Soo-yeon dan hubungan mereka dengan si ibu tiri kejam, Eun-joo.

Filem yang diilhamkan dari sebuah cerita rakyat bertajuk "Janghwa Hongryeon Jeon" ("Kisah Jang-hwa dan Hong-ryeon") ini turut menaikkan nama pelakon remaja Moon Geun-yeong ("Cheongdamdong Alice"). Ia juga diadaptasi oleh Hollywood dengan tajuk "The Uninvited" lakonan Emily Browning dan Elizabeth Banks.

Noroi (2005)

Hollywood mungkin mempopularkan genre 'found footage/mockumentary' melalui filem "The Bair Witch Project" dan terus menghasilkan lebih banyak filem sedemikian dengan francais "Paranormal Activity", "The Last Exorcism" dan sebagainya. Namun anda harus akui, filem "Noroi" arahan Koji Shiraishi ("Okaruto") berada di satu tahap berbeza, apatah lagi bila berlatarkan sejarah Jepun yang dipenuhi kepercayaan tahyul tentang dewa-dewa, yokai dan obake.

Kisah "Noroi" dipecahkan ke beberapa bahagian – si artis idola yang mengalami gangguan aneh selepas menyertai satu program berkonsep paranormal, si wartawan yang sedang menyiasat fenomena-fenomena aneh sekitar Jepun, seorang budak perempuan dengan kuasa psikik yang telah diculik dari keluarganya, dan seorang psikik gelandangan yang membalut dirinya dengan kertas aluminium kerana takut dengan 'bakteria paranormal'. Semuanya akhirnya berjaya disatukan si wartawan dan dikaitkan dengan syaitan bernama Kagutaba dan upacara penyembahan yang dilakukan untuk mengamankannya.

Kehebatan "Noroi" terletak pada susunan bahagian filemnya, membuatkan anda terus setia menonton dari mula hingga akhir tanpa sedikit pun rasa bosan. Malah intensitinya dikekalkan sehingga pengakhirannya yang boleh buat anda rasa seriau satu badan!

Ring (1998)

Usah dibincangkan filem remake Hollywoodnya. Sekalipun filem itu dianggap satu kejayaan dan menaikkan status filem-filem seram Asia di Barat, ia tidak sama dengan filem asal arahan Hideo Nakata ("Dark Water") ini.

Tapi yang menariknya, filem "Ring" ini (atau "Ringu", jika anda mahu sebutan yang paling tepat) merupakan filem adaptasi dari novel "Ring" karya Koji Suzuki, yang juga sebenarnya diilhamkan dari cerita rakyat Jepun, "Bancho Sarayashiki" (jika anda pernah baca komik "Doremon", anda pasti tahu kisah si hantu yang mengira piring).

Tapi persamaannya berakhir di situ. Novel karya Koji Suzuki lebih bersifat saintifik berbanding paranormal, di mana semua kejadian yang berlaku melibatkan si hantu berambut panjang Sadako disebabkan virus yang bergabung dengan kuasa psikiknya. Malah filem yang lebih setia dengan karya asal adalah filem Korea Selatan, "The Ring Virus" arahan Kim Dong-bin.

Apa pun fakta sebenar, hakikatnya, filem lakonan Nanako Matsushima, Hiroyuki Sanada, dan Rikiya Otaka ini dianggap sebagai filem paling menakutkan di Jepun, berdasarkan survey yang dibuat oleh Oricon.

Three... Extremes (2004)

Jika anda suka filem seram dari Hong Kong, Korea Selatan, dan Jepun, maka "Three... Extremes" adalah jawapannya. Sekalipun ia merupakan sekuel kepada konsep filem "Three" yang ditayangkan pada tahun 2002 dan menampilkan Peter Chan (HK), Nonzee Nimibutr (Thailand) dan Kim Ji-woon (Korea Selatan), "Three... Extremes" dianggap lebih hebat berbanding filem asalnya.
Ia menampilkan tiga buah kisah seram dari tiga buah negara. Filem dari Hong Kong berjudul "Dumplings", diarahkan oleh Fruit Chan ("Public Toilet") mengenai seorang pelakon wanita veteran yang mahukan keremajaannya semula dengan memakan ladu yang kononnya boleh mengembalikan usia mudanya.

Filem dari Korea Selatan pula diarahkan Park Chan-wook ("Oldboy"), berkisar seorang pengarah filem terkenal dan isterinya yang diculik oleh seorang pelakon tambahan dan terpaksa membabitkan diri dalam permainan sadistik untuk menyelamatkan si isteri.

Sementara itu, filem dari Jepun pula dihasilkan oleh Takashi Miike ("One Missed Call"), tentang seorang wanita pendiam yang seringkali bermimpi buruk di mana dia dikebumikan dalam sebuah kotak dalam salji.

Troublesome Night (1997)

Anda bukan peminat filem seram Asia jika tidak pernah menonton walau satu pun dari 19 filem francais "Troublesome Night". Ia merupakan antara filem seram pertama Asia yang dipersembahkan dalam bentuk empat segmen berbeza yang disatukan secara berterusan. Ia juga dihoskan oleh Simon Lui yang turut tampil dalam kesemua segmen dengan watak berbeza-beza.
Dalam filem pertama francais ini yang diarahkan oleh Herman Yau ("The Untold Story"), kisah pertama adalah mengenai seorang pemuda bernama Ken yang mengalami banyak insiden aneh selepas bertemu dengan seorang wanita misteri berhampiran kubur di mana dia dan kawan-kawannya berkhemah.

Di pengakhiran kisahnya, rakan-rakan Ken kembali ke Hong Kong dan satu lagi kisah seram bermula, dan membabitkan seorang wanita bernama Puan To yang tertunggu-tunggu kemunculan suaminya untuk sambutan ulangtahun perkahwinan mereka. Pengakhiran kisah tersebut pula memulakan satu lagi cerita tentang kawan Ken bernama Jojo yang bercinta dengan hantu.

Kisah keempat pula merupakan seram komedi yang melibatkan seorang lelaki bernama Peter Butt yang keluar menonton wayang bersama kawan-kawan Ken tanpa mengetahui bahawa pawagam tersebut berhantu.

Sundel Bolong (1981) 

Jika anda masih seorang kanak-kanak di era 80-an, filem seram Indonesia yang dipetik dari mitos Jawa tentang hantu seorang pelacur ini pasti menjadi mimpi ngeri anda setiap malam.

"Sundel Bolong", lakonan Suzzanna dan Barry Prima berkisar tentang seorang bekas pelacur yang telah diperkosa ketika suaminya berlayar selama sembilan bulan. Akibat malu kerana hamil anak pemerkosanya, dia membunuh diri dan bangkit semula untuk membalas dendam.

Jika anda menontonnya sekarang, mungkin banyak babak dan dialog yang boleh dipersoalkan, dan lakonan yang boleh dikritik. Tapi suatu masa dahulu, filem arahan Sisworo Gautama Putra ("Nyi Blorong") ini berjaya membuatkan semua kanak-kanak bermimpi buruk, apatah lagi bila menonton babak sundel bolong minum kuah satay panas yang kemudiannya tembus mengalir di belakang badannya.

Misteri Rumah Tua (1987)

Mungkin filem ini dilakonkan oleh Noorkumalasari dan selama ini anda menontonnya dengan alih suara Bahasa Melayu. Tapi filem yang membuatkan semua kanak-kanak era 80-an ke 90-an takut dengan poster Noorkumalasari ini sebenarnya merupakan filem gabungan Malaysia-Indonesia yang diarahkan oleh Lilik Sudijo ("Gundala Putra Petir").

"Misteri Rumah Tua" bermula dengan enam orang remaja yang secara tidak sengaja telah menjadi sasaran hantu seorang wanita yang ingin membalas dendam terhadap peristiwa yang berlaku pada keluarganya, apatah lagi bila seorang dari mereka, Susi (lakonan Rani Soraya) merupakan anak kepada lelaki yang telah memperkosa dan membunuh ahli keluarga wanita tersebut (lakonan Noorkumalasari).

Filem yang turut dilakonkan oleh Tonny Hidayat, WD Mochtar, dan Bram Adrianto ini juga menjadi filem yang seringkali disebut-sebut bila bercakap tentang filem seram di Malaysia/Indonesia, apatah lagi dengan babak ikonik - si hantu melahirkan bayinya melalui mulut.

Oh, dan imej Noorkumalasari menyeringai dan menjegilkan mata di permulaan filem masih berjaya membuat penulis rasa seram sejuk.

Filem-filem paling seram di asia