Lepasan STPM, Matrikulasi Gagal Ke IPTA Berpeluang Ke UITM



Pelajar lepasan program matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tidak diterima masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berpeluang mengikuti program diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tawaran itu membolehkan pelajar terbabit mengikuti program diploma di mana-mana kampus UiTMdi seluruh negara dengan kelonggaran syarat.

"Mereka boleh merayu dengan menghantar surat rayuan secara terus kepada saya di pejabat Naib Canselor UiTM Shah Alam dengan menyertakan keputusan peperiksaan yang diperolehi," katanya di sini, Ahad.

Sahol Hamid berkata, tawaran itu diberikan selepas beliau menerima banyak surat daripada pelajar lepasan program matrikulasi, asasi dan STPM yang merayuuntuk mengikuti program ijazah di UiTM selepas gagal memasuki IPTA lain berikutan tidak melepasi syarat dikenakan mengikut sistem merit.

Beliau berkata, pelajar dengan kelulusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 2.0 ke atas akan diberi pertimbangan untuk pengecualian beberapa mata pelajaran atau dengan pengurangan beberapa kredit serta mungkin boleh menghabiskan program diploma dengan segera.

"Bagi pelajar lepasan STPM pula, mereka boleh membuat rayuan jika mendapatkelulusan kredit bagi lima mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat CGPA tidak kurang 2.0.

"Mereka yang terpilih juga layak untuk memohon bantuan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," katanya. -BERNAMA
Lepasan STPM, Matrikulasi Gagal Ke IPTA Berpeluang Ke UITM