Cadangan agihan BR1M dua kali tahun depan



Kerajaan bercadang melaksanakan agihan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak dua kali pada tahun depan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, selain itu kaedah penyaluran BR1M juga mungkin dibuat melalui transaksi kepada akaun bank penerima.

Sungguhpun begitu, beliau berkata, nilai BR1M hanya akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 25 Okt ini.

"Kita telah menyediakan draf pertama yang telah dibentangkan kepada perdana menteri, jadi sekarang kita sedang memperkukuhkan lagi pemberian BR1M.

"Nilai sebenar masih belum dipastikan lagi, tetapi ia lebih daripada RM500 yang diberi sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Rakyat Ehsaniah di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan II, Gugusan Manjoi di sini hari ini.

Katanya, kaedah agihan BR1M sebanyak dua kali ini membolehkan penerima menggunakannya secara berhemat berbanding pemberian sekaligus.

Ahmad Husni berkata, apabila dasar rasionalisasi subsidi dilaksanakan, kerajaan juga sedang meneliti model bantuan terbaik bagi membantu golongan yang mempunyai pendapatan keluarga RM4,000 sehingga RM5,000.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/ 
Cadangan agihan BR1M dua kali tahun depan