Teruskan Rebat Telefon Pintar RM200 Dalam Bajet 2014 - Celcom Axiata



Penyedia telekomunikasi, Celcom Axiata Bhd, menggesa kerajaan meneruskan pelaksanaan Pakej Komunikasi Belia dalam Belanjawan 2014.

Pakej itu yang diumumkan dalam Belanjawan 2013, membolehkan golongan belia berusia 21 hingga 30 tahun yang berpendapatan kurang daripada RM3,000, memperoleh rebat RM200 untuk membeli telefon pintar terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly berkata beliau mahu melihat kerajaan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan digital.

"Pada asasnya kami mahu supaya pemilikan ke atas peranti menjadi lebih murah dan boleh diakses dan disediakan kepada semua," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada pengumuman keputusan suku kedua syarikat itu di sini Rabu.

Mohammed Shazalli berkata lebih banyak pusat komunikasi jalur lebar akan dibangunkan di seluruh negara bagi membolehkan mereka yang tidak mempunyai akses kepada rangkaian untuk menikmati kemudahan berkenaan.

Mengenai bila beliau menjangkakan syarikat telekomunikasi melepaskan cukai perkhidmatan kepada pengguna prabayar mudah alih, beliau berkata: "Ia merupakan proses berterusan antara kami dan pihak berkuasa kawal atur serta dalam kalangan peserta industri."

Beliau berkata syarikat telekomunikasi dan kerajaan belum lagi mencapai persetujuan dalam isu itu.

Sumber: http://www.bernama.com/
Teruskan Rebat Telefon Pintar RM200 Dalam Bajet 2014 - Celcom Axiata

1 comment... add one now

azizahpiee zapiee azizahpiee zapiee 4:27 AM
mcm mana sy nk daftar oneline ye sy x pandai borang nk klik kt mane...boleh tunjuk ajar x soriii jgn marah...tq