Warga Asing Sertai Kongsi Gelap


Ops 6P Bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Pulau Pinang di sebuah penempatan buruh asing di Relau dekat sini berjaya membongkar ke giatan kongsi gelap didalangi warga asing yang dipercayai aktif dalam kegiatan jenayah.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri, Basri Othman berkata, pihaknya melakukan serbuan ke kawasan itu pukul 12.30 malam semalam setelah melakukan intipan sejak seminggu lalu.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam beberapa bilik pekerja di situ menemui beberapa lambang kongsi gelap yang disenaraikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) antaranya Geng 08 dan Geng 04.

“Serbuan ini menunjukkan kegiatan kongsi gelap turut berleluasa di kalangan pekerja asing. Selain itu, terdapat juga beberapa lambang-lambang lain yang kemungkinan ada kaitan dengan gangsterisme.

“Pihak kita telah merujuk perkara ini kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut bagi mengesan warga asing yang terlibat dalam kegiatan kongsi gelap itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dilokasi serbuan. - KOSMO!



Warga Asing Sertai Kongsi Gelap