Bajet 2014 - Cadangan Pelepasan Cukai



Pembentangan Bajet 2014 diharap dapat menyenaraikan lebih banyak langkah bagi meringankan beban kewangan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana. 

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, mencadangkan kerajaan menimbang pelepasan cukai yang lebih tinggi terhadap golongan berpendapatan antara RM3,000 dan RM9,000 sebulan bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu daripada RM6,000 kepada RM10,000. 

Bagi yang bekerja sendiri pula perlu layak mendapat potongan lebih tinggi supaya boleh mendapat simpanan KWSP yang lebih tinggi ketika usia tua kelak. 

“Saya juga berharap kadar cukai pendapatan bagi golongan yang mempunyai pendapatan bercukai melebihi RM50,000 perlu dikurangkan daripada 19 peratus kepada 15 peratus. 

Pelepasan cukai ke atas anak 

“Mereka yang mempunyai pendapatan bercukai lebih daripada RM70,000 pula harus dikurangkan cukainya daripada 24 peratus kepada 20 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. 

Lam Thye juga mencadangkan supaya pelepasan cukai ke atas anak dapat ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 memandangkan kos yang tinggi dalam pembiayaan pendidikan. 

Dalam pada itu, Lee turut mengemukakan cadangan supaya pembeli rumah kali pertama diberi pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman perumahan sehingga RM10,000 setahun selama tiga tahun, sama seperti yang termaktub di dalam peruntukan Pakej Rangsangan kedua pada 2009. 

Bagi menampung kos hidup yang tinggi dalam keluarga yang mempunyai anak kurang upaya pula, beliau mencadangkan kerajaan meningkatkan pelepasan cukai daripada RM5,000 kepada RM9,000. 

BERNAMA

Bajet 2014 - Cadangan Pelepasan Cukai