Angin Siberia faktor suhu menjadi sejuk di Malaysia

Pertembungan angin sejuk dikenali sebagai ‘Angin Siberia’ menyebabkan negeri ini mengalami suhu antara 20 dan 27 darjah Celsius yang dijangka berterusan hingga minggu depan.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Abdul Malek Tusin berkata, negeri itu menerima tempias daripada fenomena itu selain faktor hujan menyebabkan negeri itu mengalami penurunan suhu.

“Cuaca dingin dialami negeri ini sebenarnya bukanlah satu fenomena luar biasa kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

“Cuma, keadaan cuaca seperti ini tidak berlaku setiap tahun, manakala bacaan 20 hingga 27 darjah Celsius bukanlah suhu normal di Sabah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, suhu di negeri ini lazimnya dicatatkan sekitar 24 hingga 33 darjah Celsius dan suhu paling rendah dicatatkan adalah 20 darjah Celsius.

Difahamkan, sejak fenomena cuaca itu berlaku kira-kira lima hari lalu, daerah Keningau mencatatkan suhu terendah iaitu 17 darjah Celsius berbanding Kundasang (20 darjah Celsius).

Mengenai suhu di puncak Gunung Kinabalu, Abdul Malek berkata, setakat ini, belum ada rekod dicatatkan, tetapi dijangka lebih sejuk mencecah bawah 15 darjah Celsius.

“Monsun Timur Laut yang berlaku sehingga Mac juga menyebabkan hujan lebat yang menambahkan lagi ‘kedinginan’ suhu di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, suhu di sekitar bandar raya ini pada jam 1 tengah hari semalam mencatatkan bacaan serendah 24 darjah Celsius.
Angin Siberia faktor suhu menjadi sejuk di Malaysia