Rumah Selangorku | Rumah mampu milik untuk rakyat

Lebih 2,000 unit rumah mampu milik akan mula dibina di Selangor bermula pada bulan ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataan medianya memberitahu projek Perumahan Mampu Milik atau dikenali sebagai Rumah Selangorku yang dibina menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan dapat memberi peluang kepada rakyat di negeri ini terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah kediaman.

“Rumah yang dibina pula terdiri daripada tiga jenis keluasan iaitu 800, 900 dan 1,000 kaki persegi dan dibangunkan di sebahagian tanah milik Menteri Besar Incorporated (MBI) yang berkeluasan 28 hektar di Sungai Sering, Hulu Klang,” katanya.

Projek Perintis Rumah Selangorku ini mengandungi lapan blok yang akan dibina dalam empat fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun setengah.

“Kos keseluruhan Projek Perintis Rumah Selangorku ini dianggarkan berjumlah RM591 juta termasuk kos membina jalan keluar masuk, menaik taraf surau menjadi masjid,  membina sistem pembentungan dan naik taraf sistem perpaipan,” katanya lagi.

Majlis Pecah Tanah bagi projek perintis ini akan diadakan pada 22 Februari.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan dalam tempoh enam bulan kemudian selepas kelulusan pembangunan serta perlantikan kontraktor selesai,”.

“Pembinaan rumah ini ini akan mengguna pakai kaedah Industrial Building System (Pre-Fabricated – IBS) atau pasang siap bagi mempercepatkan tempoh pembinaan berbanding kaedah konvensional,”.

Ianya adalah sebahagian daripada 5,000 unit rumah mampu milik berkonsepkan pasang siap yang disasarkan  dibina bagi tempoh lima tahun sehingga 2018 daripada 35,000  unit yang disasarkan keseluruhannya.

Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)  pula akan membina rumah mampu milik menerusi Program Pemilikan Ruman Idaman Negeri Selangor atau IDAMAN PKNS.

“Terdapat projek perumahan mampu milik yang telah disiapkan PKNS di Bukit Botak di Selayang dan Seksyen 3, Bandar Baru Bangi manakala beberapa projek lagi dalam pelaksanaan dan perancangan,”.

Kerajaan Selangor telah memperuntukkan RM100 juta menggunakan rizab tunai negeri bagi melaksanakan projek ini seperti yang telah diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2014 .

Peruntukkan tersebut sebagai Dana Pusingan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat Selangor.
Rumah Selangorku | Rumah mampu milik untuk rakyat

Bagaimana nk dpt borang tu.