Virus MERS-CoV - Sindrom Pernafasan Koronavirus Timur Tengah

Apa itu virus MERS-CoV (Sindrom Pernafasan Koronavirus Timur Tengah)

MERS-CoV  atau Middle East respiratory syndrome coronavirus adalah kumpulan keluarga virus yang besar dan meliputi pelbagai strain yang boleh menjangkiti manusia dan haiwan.

Jangkitan respiratori yang berlaku secara akut dan serius iaitu demam dan kesukaran bernafas adalah gejala utama yang dikesan dalam kalangan kes MERS-CoV.

Pesakit yang terkena jangkitan mengalami radang paru-paru. Ada juga sebahagian kes yang dikesan dengan gejala gastrointestinal seperti cirit-birit.

Lebih membimbangkan jika penyakit ini berjangkit kepada individu yang menghadapi penyakit kronik dan kurang daya tahan jangkitan kerana gejala jangkitan mungkin berlaku dalam bentuk tidak lazim.

Panduan daripada Kementerian Kesihatan kepada orang awam yang ingin mengerjakan umrah, mengerjakan haji atau mengadakan lawatan ke negara di rantau Asia Barat yang kini ada kejadian jangkitan MERS-CoV:

  • Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan terutama selepas batuk, bersih atau selepas bersalaman.
  • Ketika dalam tempoh lawatan, sentiasa bawa bersama penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan, terutama selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman.
  • Ketika dalam tempoh lawatan, elak menjamah makanan mentah atau tidak dimasak dengan sepenuhnya, menjamah buahan mahupun sayuran yang tidak dibasuh terlebih dulu atau minum minuman menggunakan bekalan air tidak terawat.
  • Mereka yang pulang dari lawatan ke negara di Asia Barat dengan gejala jangkitan respiratori (seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak) dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung. Jika gejala dialami berterusan dan menjadi bertambah teruk, segera dapatkan rawatan perubatan serta maklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.


Virus MERS-CoV - Sindrom Pernafasan Koronavirus Timur Tengah