Rakyat Jepun buka Kilang Bayi di Thailand

Polis antarabangsa Interpol melancarkan satu siasatan berbilang negara melibatkan kes seorang ahli perniagaan Jepun berusia 24 tahun yang mempunyai 16 bayi menggunakan kaedah ibu tumpang dan berhasrat menjadi bapa kepada beratus-ratus bayi lain.

Pihak berkuasa Thailand menggelarkan kes tersebut sebagai siasatan 'Kilang bayi'.

Pada awal bulan ini, polis menggeledah sebuah kondominium awal dan menemui sembilan bayi bersama pengasuh masing-masing tinggal di beberapa buah bilik di kediaman itu.

Mereka kemudian mengenal pasti ahli perniagaan tersebut, Mitsutoki Shigeta sebagai bapa kepada sembilan bayi itu dan tujuh bayi lain.

"Apa yang saya boleh dedahkan setakat ini adalah saya belum pernah melihat kes seperti ini di Thailand," kata pengarah Interpol Thailand, Mejar Jeneral Apichart Suribunya kelmarin.

"Kami masih berusaha untuk memahami mengapa individu ini mahu begitu ramai anak," kata Apichart.


Menurutnya, pejabat serantau Interpol di Jepun, Kemboja, Hong Kong dan India telah diminta untuk menyiasat latar belakang Shigeta bermula minggu lalu.

Polis berkata, lelaki tersebut memiliki perniagaan dan apartmen berdaftar di negara-negara berkenaan dan kerap berkunjung ke sana.

"Kami sedang menyiasat dua motif. Satu adalah pemerdagangan manusia manakala satu lagi ialah eksploitasi kanak-kanak," kata ketua penyiasat kes tersebut di Thailand, Leftenan Jeneral Polis, Kokiat Wongvorachart.

Menurutnya, Shigeta membuat 41 lawatan ke Thailand sejak tahun 2010.

Dia juga beberapa kali mengunjungi jiran Thailand, Kemboja untuk membawa keluar empat anaknya.

"Setakat ini, Shigeta masih belum dikenakan sebarang dakwaan jenayah," ujarnya.

Lelaki itu kini berusaha untuk mendapatkan semula semua 12 bayinya di Thailand yang kini diletakkan di bawah jagaan beberapa rumah kebajikan.

Shigeta juga telah membuktikan bahawa dia ialah bapa kandung 12 bayi itu melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dihantar dari Jepun. - Agensi

1 comment... add one now

AnonymousAnonymous 1:09 PM
Baby tu comel he