Facebook perkenalkan Lifestage untuk golongan remaja

Facebook kini menyasarkan golongan remaja yang gemarkan klip video dan Snapchat dengan memperkenalkan sebuah aplikasi bernama Lifestage yang membolehkan remaja menonton rakaman kehidupan rakan sebaya mereka.

Aplikasi Lifestage ini boleh dimuat turun menggunakan telefon pintar iPhone, namun pengguna mestilah berumur 21 tahun dan ke bawah sebelum dapat melihat profil pengguna lain.

Menerusi Lifestage, pengguna boleh membuat klip video tentang kesukaan mereka, perkara yang dibenci, gaya ta–rian dan aspek watak mereka yang lain.

Semua klip video itu digabungkan sebagai profil mereka dan boleh ditonton oleh pengguna Lifestage yang lain. Aplikasi itu juga mempunyai butang untuk pengguna menyekat dan membuat aduan tentang kehadiran orang yang lebih tua.

Lifestage diperkenalkan untuk bersaing dengan Snapchat, aplikasi mesej yang popular dalam kalangan remaja untuk berkongsi gambar dan klip video.

Lifestage juga dilihat oleh sebahagian penganalisis sebagai usaha Facebook untuk kekal popular dalam kalangan pengguna muda internet yang kurang berminat dengan laman sosial utama tersebut.

Facebook perkenalkan Lifestage untuk golongan remaja