Anwar Mungkin Kekal Terpenjara Sehingga PRU Depan



Jalan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetepikan sabitan tuduhan meliwat ke atas dirinya melalui mahkamah telahpun berakhir hari ini apabila pihak mahkamah persekutuan bersepakat untuk menolak rayuan beliau.

Dengan keputusan yang telah diputuskan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan terus menjalani sesi penahanan sehingga pertengahan tahun 2018 (Kira-kira dalam setahun lebih lagi).Lima panel hakim diketuai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan tidak berlaku keputusan berat sebelah atau tidak adil dibuat panel sebelum ini.

Memutuskan bahawa tiada merit pada dakwaan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan secara pramatang, hakim berpendapat ia terletak di bawah Peraturan 137 (yang membolehkan semakan).

"Tidak ada bukti yang dapat menunjukkan bahawa terdapat apa-apa komunikasi apa sekalipun antara PMO dan Mahkamah Persekutuan sama ada sebelum atau selepas keputusan kes itu," katanya dalam keputusan dibuat sebulat suara oleh semua hakim.

Hakim lain yang menganggotai panel mendengar permohonan Anwar itu ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, serta hakim mahkamah persekutuan, Tan Sri Hassan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Semua hakim hadir di mahkamah ketika penghakiman dibacakan, kecuali Malanjum yang menghadiri pengebumian ibu saudaranya.
Walaubagaimanapun, keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin akan mencuba untuk mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong baru, Sultan Muhammad V.

"Ia adalah salah satu pilihan, tapi kita perlu bincang dengan Anwar terlebih dulu.

"Kami amat berharap bahawa keputusan esok akan menjadi pilihan yang lebih mudah," kata Presiden PKR yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui pemberita di rumahnya malam ini.

Percubaan Anwar untuk mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, telah ditolak oleh Lembaga Pengampunan.

Peguam Sivarasa Rasiah bagaimanapun telahpun menjelaskan bahawa tidak ada had kepada usaha mendapatkan pengampunan diraja.

Ini adalah saluran undang-undang terakhir Anwar untuk mencabar hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, Wan Azizah memberitahu orang ramai yang berkumpul di rumahnya bahawa semasa berada di majlis pertabalan Agong, beliau merasa baginda akan memberi pengampunan kepada kepada Anwar.

"Mungkin Agong baru akan mempunyai cara yang baru (untuk melakukan sesuatu)," katanya.

Beliau berkata Anwar sebelum ini keberatan mendapatkan pengampunan kerana ia akan menjadi satu pengakuan bersalah. Bagaimanapun Anwar mengubah fikiran dengan berpendapat pengampunan itu dibuat atas alasan ketidakadilan.

Lebih 50 orang, kebanyakannya anggota PKR, berkumpul di rumah Anwar malam ini untuk menunaikan solat hajat bagi mendoakan beliau dibebaskan esok.

Sumber : Malaysiakini.com


0 comment... add one now