Tema Sambutan Maulidur Rasul 2016 - 1437 / 1438H

Tema Sambutan Maulidur Rasul 2016 - 1437H Dan 1438H. Pada tanggal 12 Rabiulawal dalam bulan hijrah Islam merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Sambutan Maulidur Rasul tahun 2016 di Malaysia akan disambut pada hari Isnin, 12 Disember 2016 menurut tarikh penting Kalendar Islam 2016 JAKIM. Pada hari Isnin nati juga merupakan cuti umum buat rakyat Malaysia. Tema pada tahun ini adalah "Ukhuwah Islamiyyah Asas Penyatuan Ummah".

Tema Sambutan Maulidur Rasul 2016

Tema Sambutan Maulidur Rasul 2016 - 1437/ 1438H

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 2016 Masihi, demikian dibawah dikongsikan tema Maulidur Rasul 2016 1437/1438H :
  • Tahun 2016 : "Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah"
  • Tahun 2015 : “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”
  • Tahun 2014 : "WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH"

MAULIDUR RASUL; KEPERIBADIAN TERPUJI PERJUANGAN DIHAYATI

Pada tanggal 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh yang amat penting dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kelahiran Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada dunia ini. Manusia pada saat itu masih lagi berada dalam kekufuran, kegelapan syirik, tidak mengenal pencipta mereka. Pada waktu tersebut, penyembahan terhadap berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan merupakan suatu kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh dianggap suatu keberanian. Sehubungan dengan itu Allah telah mengutuskan seorang Rasul yang ditunggu-tunggu oleh umat manusia untuk menghapuskan semua kerosakan ini dan memimpin mereka kepada cahaya Ilahi.

Menghayati Perjuangan Nabi

Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang sering disambut saban tahun menuntut kita agar sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam yang berjaya merentasi dunia timur dan barat. Tambahan pula, Nabi Muhammad juga amat dikenali sebagai seorang yang suka menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesulitan, menolong anak yatim dan ibu tunggal, amat pemurah dan sebagainya.

Keperibadian Terpuji

Masyarakat Arab Quraisy amat menyukai akan keperibadian yang dimiliki oleh nabi Muhammad SAW, baginda pernah tinggal bersama-sama kaum Quraisy, pernah berganding bahu membangunkan semula Kaabah yang pernah runtuh akibat banjir. Baginda dikenali di kalangan masyarakat Arab sebagai seorang yang baik budi pekertinya, seorang yang amanah sehingga digelar al-amin.

Tetapi kenapa tiba-tiba nabi Muhammad menjadi orang yang paling dibenci oleh mereka? Adakah orang Quraisy tidak kenal siapa baginda sehingga sanggup membunuhnya? Mereka benar-benar telah merancang untuk membunuh nabi Muhammad dengan berbagai-bagai perancangan jahat, namun baginda diselamatkan oleh Allah. Allah merakamkan rancangan buruk orang musyrikin untuk membunuh nabi Muhammad S.A.W akan tetapi Allah telah menggagalkan perancangan mereka. Firman Allah dalam surat al-Anfal ayat 30:

"Ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik ( Mekah ) menjalankan perancangan jahat terhadapmu untuk menjarakkanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat (mereka). Allah adalah sebaik-baik yang menggagalkan perancangan jahat".

Ketokohan

Baginda Rasulullah S.A.W adalah seorang yang berpandangan jauh, akal fikiran yang tajam , semangat juang yang tinggi, kekuatan mental dan rohani serta tabah dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang seharusnya dicontohi, sama ada di waktu penghijrahan baginda dari kota Mekah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam wajiblah bangkit membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan mental dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam menyebarkan syiar Islam. Oleh itu setiap umat Islam adalah dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan agama Allah.

Ketokohan nabi Muhammad sebagai manusia yang teragung yang pernah dilahirkan di muka bumi ini sememangnya tidak dapat disangkal lagi walaupun oleh orientalis-orientalis daripada barat. Jika hendak dibandingkan dengan ajaran agama lain seperti Kristian, Buddha, mahupun Yahudi, Rasulullah (S.A.W) merupakan satu-satunya pengasas agama yang secara jelas sejarahnya diceritakan sejak baginda dilahirkan sehingga Rasulullah wafat. Ketokohan Nabi Muhammad (S.A.W) dalam memimpin sebuah negara, menjadi seorang jeneral perang, menjadikan contoh teladan yang terbaik kepada umatnya bagaimana untuk menjadi seorang sahabat, ayah, suami, anak dan lain-lain menjadikan Rasulullah, manusia yang teragung yang pernah dilahirkan hingga ke hari ini.


Keadaan Kucar kacir

Keadaan dunia pada masa itu amat tenat serta tunggang langgang. Manusia pada ketika mempunyai perangai seperti binatang, bahkan lebih teruk. Terlalu banyak kelakuan buruk yang melingkari masyarakat ketika itu. Bukannya di semenanjung tanah Arab sahaja, bahkan di negara Parsi dan juga Rom. Kehidupan mereka amatlah teruk, meminum arak menjadi satu kebanggaan. Persundalan dianggap satu keseronokan, amalan riba' berleluasa dalam urusan perniagaan, hidup berpoya-poya menjadi tanpa haluan.

Kekejaman yang dilakukan dianggap satu kekuasaan. Kekuatan digunakan untuk menindas. Kekuasaan digunakan untuk mengaut keuntungan dan harta. Para penguasa selalu dimuliakan bahkan kadangkala dianggap sebagai tuhan. Orang awam yang lemah sering dijadikan sebagai hamba. Kepandaian sering digunakan untuk melakukan penipuan. Setiap saat akal sentiasa digunakan untuk melakukan perbuatan jahat dan untuk memenuhi tuntutan nafsu. Demikianlah gambaran masyarakat ketika baginda diutuskan. Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam masa kini adalah dengan menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh teladan yang terbaik.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan yang baik) pada hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-ahzab 21).

Kesimpulan

Oleh yang demikian wajarlah kita merenung kembali sejarah Rasulullah (S.A.W) dan mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam membangunkan adab manusia sejagat. Maulidur Rasul juga merupakan waktu bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah. s.a.w. dan seterusnya menjadikan contoh  dan kehidupannya kerana baginda adalah teladan terbaik.

Sumber: Akhbar Utusan Malaysia

JAKIM


0 comment... add one now