Lagu ‘Sila Meninggal’ Dua Gadis Bersama Ukulele Menambat Hati Pendengar


Lagu yang bertajuk ‘Kawan’ atau lebih dikenali sebagai ‘Sila Meninggal’ telah menjadi viral di media sosial sebaik sahaja dimuatnaikkan pada awal bulan ini oleh dua orang gadis yang lebih mesra dipanggil Eza dan Aruu. 

 Malah, video tersebut meraih perhatian ramai sehingga mencecah lebih 50k penonton di Youtube walaupun tidak sampai genap sebulan. Kedua-dua gadis Sabahan ini merupakan bekas pelajar asasi TESL di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil. 

Menurut Eza, idea asal lagu ini tercetus pada suatu ketika mereka ingin menghilang stress setelah selesai peperiksaan. Mereka sama-sama telah memikirkan lirik lagu ini dan ketika sedang ‘jamming’, idea untuk menulis lirik akan terbit sendiri secara tidak langsung. 

Yang lebih menariknya, lagu berjudul ‘Kawan’ ini digandingkan dengan ukulele yang dimainkan oleh Aruu. Ditambah lagi, lagu ‘Kawan’ ini tidak ditujukan buat sesiapa pun dan ‘sila meninggal’ bukan bermaksud pergi mati, sebaliknya perkataan itu lebih kepada hiperbola yang bererti sila berambus atau dalam erti kata lain ‘buzz off’.  

Selain itu, apabila ditanyakan kepada mereka, apakah impian mereka untuk masa hadapan, mereka mementingkan pelajaran kerana ingin menyambung pengajian terlebih dahulu untuk merealisasikan impian mereka menjadi pendidik.  Ditambah lagi, buat masa sekarang ini sementara menunggu keputusan peperiksaan, mereka akan menyambung untuk menulis lirik lagu dan menyanyi. 

Mereka akan memuat naik lagu terbaru bertajuk ‘pointer’ tidak lama lagi yang direka khas buat pelajar-pelajar yang sebaya mereka dan akan membuat ‘cover’ lagu-lagu  Melayu dan Inggeris. Terdapat juga lagu-lagu yang pernah mereka hasilkan sepanjang pengajian di UiTM Dengkil. 

Eza juga memohon maaf kepada mereka yang menghantar mesej melalui akaun instragam mahupun mana-mana akaun media sosial mereka kerana tidak mampu untuk membalasnya semua. Kedua-dua gadis yang berusia 19 tahun ini juga dengan merendah diri berterima kasih kepada rakan-rakan yang menyokong mereka termasuk juga ahli keluarga, pensyarah-pensyarah dan ‘housemates’ mereka.

Tambahan lagi, mereka ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan mereka, Hazmi Fahim dan kumpulan band mereka, TOF yang telah mencipta lagu ‘Bahagia’ buat mereka. Nyanyian lagu itu telah mencatatkan lebih daripada 100k penonton di YouTube. 

Secara keseluruhannya, mereka sangat teruja atas pencapaian yang mereka berjaya kecapi antaranya terlibat dalam musik video artis-artis terkenal tanah air seperti Faizal Tahir dan Jaclyn Victor sehingga dijemput ke dalam program realiti ‘Motif Viral’. Mereka akan cuba melakukan yang terbaik untuk sentiasa memperbaiki diri sendiri dan mengharapkan yang terbaik untuk masa hadapan.


0 comment... add one now