Pemandu Kereta Singapura Selamat Walaupun Kereta Diheret Treler Malaysia



Pemandu kereta, Eddie Wong yang mengalami kemalangan setelah kereta miliknya diheret ke bahagian dinding terowong Tuas, Singapura terkejut kerana selamat dengan ajaib tanpa sebarang kecederaan teruk selain hanya mempunyai kesan lebam pada jarinya.

Klip video yang dirakam oleh Wong menggunakan kamera keretanya sendiri kini viral setelah dimuat naik di laman Facebook memaparkam detik-detik sebelum dan sehingga membawa kepada saat ngeri kemalangan yang terjadi pada Rabu lalu, lapor The Straits Times.

Video 17 saat itu menunjukkan treler yang didaftarkan di Malaysia itu secara tiba-tiba terbabas dari lorong kiri ke kanan semasa kereta Wong menghampirinya sebelum pintu masuk ke terowong.

Malah, rakaman yang agak kabur semasa menghampiri detik-detik kereta itu remuk menunjukkan treler itu mengheret kenderaan milik Wong ke bahagian dinding terowong sehinggakan kereta Wong terpaksa dikategorikan sebagai hapus kira.

Menerusi akhbar itu, Wong, 45, bekerja sebagai jurutera perkhidmatan berkata rakan-rakan dan keluarganya semua terkejut dengan kemalangan yang menimpanya kerana melihat gambar kenderaan yang remuk dengan teruk.

Tambahnya lagi, dia cuma mengalami kecederaan di jari kerana cuba mencari telefonnya.
Beliau menceritakan pengalamannya terperangkap dalam kereta untuk sementara waktu namun dibantu oleh beberapa pekerja selepas itu.

Dipetik daripada The Straits Times, Wong menghadapi masalah dengan tuntutan insurans kerana treler itu didaftarkan di Malaysia. Beliau perlu menuntut dari insurans nya sendiri terlebih dahulu untuk mendapatkan semula nilai semasa pasaran kereta.

Beliau juga menyatakan kepada The Straits Times, beliau tidak terlalu trauma untuk memandu lagi meskipun mengalami kemalangan itu.


0 comment... add one now