Ahok Dipenjara 2 Tahun Kerana Hina Islam


Basuki Tjahaja Purnama atau dikenali sebagai Ahok yang merupakan Gabenor Jakarta dijatuhkan hukuman penjara dua tahun setelah didapati bersalah menghina agama Islam, lapor BBC.

Kes ini dilihat sebagai ujian toleransi agama negara itu memandangkan Ahok merupakan etnik Cina Kristian pertama yang mentadbir ibu negara Indonesia.

Difahamkan dalam ucapan kempennya, Ahok dituduh menghina Islam dengan merujuk kepada ayat Al-Quran.

Dalam pada itu, penunjuk perasaan berkumpul di luar Mahkamah Agung di Jakarta masing-masing yang menyokong dan menentang Ahok menuntut pembebasan atau hukuman penjara yang panjang.

Kawalan keselamatan telah dibuat oleh kira-kira 15,000 anggota keselamatan yang terdiri daripada polis dan tentera di kawasan kejadian dengan polis rusuhan dan kereta perisai memisahkan dua kumpulan tersebut.

Ahok merupakan gabenor bukan Islam pertama di Jakarta yang diambil alih daripada Joko "Jokowi" Widodo, yang dipilih sebagai Presiden pada tahun 2014.

Dalam pemilihan Gabenor Jakarta baru-baru ini, Ahok tewas kepada calon Muslim konservatif Anies Baswedan Rasyid.

Negara Indonesia merupakan negara Islam yang mempunyai paling ramai penduduk di dunia dan hampir 85% daripada penduduknya terdiri daripada orang Muslim namun negara itu secara rasmi menghormati enam agama.

Ahok didakwa ketika dalam ucapannya di Kepulauan Seribu, memberitahu umat Islam agar tidak terpedaya dengan pihak mengambil ayat 51 Surah Al-Maidah dalam Al-Quran yang menceritakan umat Islam dilarang untuk memilih orang bukan Islam menjadi pemimpin mereka.


Akibat tindakannya itu, Ahok mencetus kemarahan umat Islam di Indonesia dan menyebabkan ratusan ribu umat Islam membuat demonstrasi membantah Ahok di ibu kota Jakarta pada 4 November lepas. 


0 comment... add one now