Bekas Pengerusi Dan Bekas Setiausaha Masjid Direman Kes Tanah Wakaf



Dua orang lelaki dikenakan perintah reman oleh Mahkamah Majistret hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah dalam urusan jual beli tanah wakaf berjumlah RM116,000. 

Kedua-dua orang lelaki tersebut merupakan bekas pengerusi dan bekas setiausaha Masjid Al-Hamideen di Melaka.

Bermula hari ini sehingga Sabtu, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Mohd Anuar Ostadi mengeluarkan perintah reman terhadap suspek yang berusia 46 tahun dan 61 tahun itu.

Siasatan yang dijalankan terhadap bekas pengerusi dan bekas setiausaha masjid ini mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Pada jam 10.40 pagi tadi, kedua-dua suspek tiba di perkarangan kompleks mahkamah dengan berpakaian kemeja T hitam dan kemeja merah, diiringi pegawai SPRM.

Setelah disyaki terbabit dalam urusan jual beli tanah wakaf milik masjid berkenaan di Bukit Cina, mereka ditahan pada pukul 7 malam tadi semasa memberi keterangan di pejabat SPRM.


Urusan jual beli tanah wakaf itu berlaku pada tahun 2012 yang lalu dan dipercayai dijual kepada seorang lelaki tempatan tanpa melalui proses yang sah. 


0 comment... add one now