Cukup Selamatkah Skuad Harimau Malaya Untuk Ke Pyongyang 8 Jun Nanti?



Keselamatan skuad Harimau Malaya yang bakal bertanding di Pyongyang untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 kumpulan B pada 8 Jun ini membangkitkan kebimbangan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Oleh itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta Kementerian Luar untuk mengkaji semula perkembangan dan situasi semasa di Korea Utara dan keperluan untuk mengeluarkan nasihat perjalanan (travel advisory) ke negara itu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin memaklumkan beliau telah berhubung dengan pihak Wisma Putra berkaitan isu berkenaan dan keputusannya akan diketahui tidak lama lagi.

Menurut Khairy selepas majlis menandatangani penajaan Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017), "Nasihat perjalanan ini sesuatu yang berat jika kita keluarkan kerana ia memberi implikasi termasuk menjejaskan hubungan dua hala, sedangkan hubungan bilateral dengan negara itu sedang dipulihkan."

Sebelum ini, kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia - Korea Utara yang ditunda sebelum ini akan tetap diteruskan di Pyongyang pada 8 Jun setelah tiada sekatan perjalanan dikenakan oleh kerajaan Malaysia yang disahkan oleh FAM, menurut Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Sementara itu, keputusan Tunku Ismail yang tidak bersetuju membenarkan pasukan kebangsaan bertandang ke Pyongyang untuk menghadapi perlawanan itu dihormati oleh Khairy, jelasnya sendiri.

Tunku Ismail, yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam kenyataan media hari ini menyuarakan kebimbangan beliau akan keselamatan skuad negara berikutan ketegangan situasi diplomatik antara Korea Utara dan negara luar yang lain.

"Kita menghormati keputusan beliau atas faktor-faktor keselamatan. Cuma kita sebagai kerajaan kita kena nilai dari pelbagai sudut," katanya lagi.

Namun, beliau tidak mahu mengulas lanjut berkaitan isu layanan tempat tinggal serta makanan yang dipersoalkan oleh Presiden FAM itu.

Pada 28 Mac lalu, kerajaan melarang pasukan Malaysia yang dijadualkan bermain menentang Korea Utara di Stadium Kim II-Sung, Pyongyang atas sebab-sebab keselamatan.

Ia berikutan ketegangan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lepas


0 comment... add one now