DJ Kelab Malam Direman 2 Hari Kerana Hina Polis


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman
Dalam satu sekatan jalan raya Jumaat lalu, seorang lelaki yang ditahan dalam sekatan itu telah menyebarkan imej buruk polis trafik setelah merakam dan menyebarkan video.

Akibat perbuatannya itu, lelaki berkenaan direman selama dua hari.

Lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana jenayah fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, beritahu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman.

Katanya lagi, lelaki yang didakwa bekerja sebagai seorang DJ di kelab malam diberi kebenaran oleh pihak mahkamah untuk menahan remannya sehingga pagi ini bertujuan untuk membolehkan siasatan dijalankan.

Selain itu, pihak polis akan mengenal pasti sebab utama dia berbuat demikian sebelum mengambil tindakan susulan termasuk proses pendakwaan.

Kejadian yang berlaku pada pukul 3 pagi Jumaat lalu melibatkan suspek ditahan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akibat dipercayai memandu dalam keadaan mabuk berdasarkan ujian pernafasan ketika di Jalan Sungai Besi - Jalan Tun Razak.

Setelah itu, dia dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Tun H S Lee untuk ujian kali kedua namun berulang kali mendakwa tidak mabuk dan merakam video serta dipaksa oleh anggota yang menahannya.

Bukan itu sahaja, lelaki terbabit turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota dan mendakwa penahanannya hanya membazir masa.

Lelaki itu kemudian disahkan memandu di bawah pengaruh alkohol setelah ujian kali kedua dilakukan.

Bacaan menunjukkan melebihi had dibenarkan, 84mg alkohol per 1000ml darah.




0 comment... add one now