Isu Bunyikan Hon Ketika Solat Jumaat



Empat orang suspek yang ditahan kerana terlibat dalam satu kejadian memukul seorang pemandu lelaki yang dikatakan membunyikan hon semasa jemaah sedang menunaikan solat Jumaat di surau Taman Austin Perdana telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Setelah keterangan mereka diambil oleh anggota polis, keempat-empat suspek yang berusia 21 hingga 55 tahun dibebaskan kira-kira tiga jam setelah itu, jelas Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Tambah beliau lagi, pihak polis akan menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut dan masyarakat diminta mengabaikan apa sahaja yang ditulis di media sosial berkenaan isu ini.

Pihak polis telah berjumpa dengan kedua-dua belah pihak sama ada daripada sebelah mangsa mahupun daripada kalangan ahli masjid dan kes ini masih berada dalam keadaan terkawal.

Dalam masa yang sama, pihak polis akan membuat pemantauan apa jua tulisan dan catatan yang ditulis di media sosial.

Jika ada yang boleh mendatangkan keadaan yang panas, mereka yang berkenaan akan diambil tindakan malah boleh dikenakan di bawah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) atau mengikut akta hasutan.

Menurut laporan, tindakan lelaki tersebut yang membunyikan hon keretanya semasa solat Jumaat sedang berlangsung menimbulkan kekecohan apabila dia dibelasah oleh orang ramai.


Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang di Surau Austin Perdana di Taman Austin Perdana sempat dirakam dan video berdurasi 47 saat dan 70 saat itu telah pun menjadi viral dalam laman sosial Facebook, YouTube dan aplikasi WhatsApp.

Dalam rakaman video berkenaan, pemandu yang membunyikan hon dikejar orang ramai sebelum bertindak beberapa kali untuk berundur dengan laju sehingga hampir melanggar orang ramai serta kenderaan lain di lokasi kejadian.

Selain itu, orang ramai kelihatan memukul kereta dan pemandu lelaki itu menggunakan kon.

Sementara itu, seorang saksi, Mohd Akmar Bakar, 18, memberitahu beliau mendengar bunyi hon yang lama semasa solat Jumaat hampir selesai dan selepas menunaikan solat, beliau melihat orang ramai berkumpul di hadapan sebuah kereta.  

Tambahnya lagi, kereta itu menuju ke laluan utama dan dilihat dua kali mengundurkan kereta mengakibatkannya hampir melanggar orang ramai serta kenderaan lain.


"Orang ramai meletakkan kereta di tepi jalan ada ada yang parkir bertindih, mungkin sebab itu dia membunyikan hon," jelasnya lagi.


0 comment... add one now