Jangan Cuba Khidmat Doktor Gigi Haram



Aduan pelanggan yang mengalami komplikasi atau kesan buruk akibat menjalani perkhidmatan tidak professional oleh pengamal pergigian haram yang semakin meningkat amat membimbangkan Kementerian Kesihatan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, aduan yang diterima termasuk perkhidmatan pembuatan gigi palsu, pemutihan gigi (tooth whitening) dan penskaleran (scaling).

Tambahnya lagi, orang awam boleh memakai sendiri produk pemutihan gigi yang dijual di pasaran terbuka (kepekatan asid kurang daripada 0.01%) sementara hanya pengamal pergigian bertauliah sahaja yang boleh mengendalikan produk yang melebihi kepekatan yang ditetapkan.

Dalam erti kata lain, hanya doktor gigi yang menjalankan perkhidmatan di premis kesihatan yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia di bawah Akta Pergigian 1971 yang boleh menggunakannya.

Oleh itu, orang ramai digesa oleh pihak kementerian untuk mendapatkan sebarang rawatan pergigian di klinik pergigian kerajaan mahupun swasta yang berdaftar dan dilakukan oleh pengamal pergigian yang bertauliah.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Sejak 2015 sehingga sekarang, terdapat sebanyak 46 aduan diterima mengenai pengamal pergigian haram dan sebanyak 18 kes berjaya dibawa ke mahkamah sepanjang tempoh itu, beritahu Dr Noor Hisham.

Pada 30 Mac lalu, satu kes terbaharu yang berlaku di Johor, tertuduh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau penjara selama 3 bulan.



Pendaftaran pengamal pergigian juga boleh disemak di laman web Majlis Pergigian Malaysia di mdc.moh.gov.my atau dpims.moh.gov.my.


0 comment... add one now