Kekasih Anak Diheret ke Balai Polis


Firasat seorang ayah yang meragui kata-kata anak gadisnya yang berusia 15 tahun untuk bermalam di rumah teman selama dua hari ternyata benar apabila anak perempuannya itu akhirnya mengakui terlanjur di rumah rakan kekasihnya di Kampung Panchang.

Setelah pengakuan itu dibuat, ayah pelajar perempuan itu bertindak nekad mencari dan menangkap ‘kekasih’ anaknya itu untuk diheret ke Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.

Berhubung dengan insiden itu, ayah kepada pelajar yang masih di bawah umur itu turut mengarahkan anaknya untuk membuat laporan polis kira-kira pukul 1.18 pagi semalam walaupun anaknya sendiri menyatakan hubungan seks berkenaan adalah secara suka sama suka.

Pada 30 April lalu, pelajar perempuan itu dipercayai telah dijemput oleh kekasihnya yang berusia 17 tahun pada pukul 1.00 pagi di rumahnya di kawasan Sepri lalu terus dibawa ke rumah rakan kekasihnya di sekitar kawasan Pilin dan Panchang.

Difahamkan pelajar perempuan itu dengan rela hati sanggup untuk menginap selama dua hari di rumah rakan kekasihnya itu yang juga merupakan anak majikan tempat kekasihnya bekerja.

Menurut sumber, pasangan kekasih itu dipercayai melakukan hubungan intim sebanyak 2 kali sepanjang tempoh berkenaan.

Selepas itu, dia telah dihantar ke rumah kawannya yang terletak di Tanjung Sena kira-kira jam 6.00 petang pada 2 Mei lalu.

Sebaik sahaja gadis tersebut tiba di rumahnya sendiri, ayahnya telah berulang-kali menyoal siasat anaknya dan akhirnya anaknya sendiri menceritakan kisah sebenar kepada ayahnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif memaklumkan pihak mereka ada menerima kes berkenaan dan mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban untuk menjalankan pemeriksaan doktor.

Buat masa ini, suspek ditahan reman bermula dari 3 hingga 8 Mei ini.


Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol di bawah umur.


0 comment... add one now