Pelajar Aliran Sains Makin Menurun


Peratusan nisbah pelajar aliran sains di sekolah menengah di seluruh negara semakin menurun sejak beberapa tahun lepas amat membimbangkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Menurut laporan ‘Science Outlook 2015’, nisbah pelajar aliran sains dan bukan sains setakat ini adalah 21:79 iaitu 21% pelajar sains berbanding 79% pelajar bukan sains, jelas Timbalan Menteri, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.




Selain itu, nisbah yang ditunjukkan bermaksud penyertaan pelajar dalam aliran sains sangat rendah sedangkan Dasar 60:40 yang diperkenalkan pada 1967 memerlukan seramai 60% pelajar sains berbanding 40% pelajar bukan sains.

Pihak Mosti menyuarakan kerisauan mereka kerana dikhuatiri memberi kesan terhadap jumlah bakat (Sains, Teknologi dan Inovasi) STI negara pada masa hadapan.

Oleh itu, semua pihak diseru untuk meningkatkan minat pelajar terhadap STI.

Jika terdapat minat, banyak kepakaran dan bakat yang boleh kita lahirkan sekaligus meningkatkan tahap produktiviti dan daya saing negara. 



Dalam majlis perasmian Program Warasa Supernova yang bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Abu Bakar, seorang bekas pelajar di situ yang bernama Nur Adlyka Ainul Annuar telah mendapat penghargaan oleh Mosti.

Saintis muda itu diberi penghargaan oleh Mosti kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa sekaligus menyuntik semangat anak-anak muda supaya meminati bidang astrofizik dan astronomi.

Beliau yang berusia 27 tahun itu berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam supermasif tersembunyi dalam lingkaran kosmik semesta.  

Mengenai kisah saintis muda yang berasal dari Muar, beliau sedang mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah Astrofizik di Universiti Durham, United Kingdom dan kumpulannya yang terdiri daripada orang-orang pakar astronomi dunia yang berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam supermasif di sebuah galaksi, yang terletak kira-kira 38 juta tahun cahaya dari bumi.


Dalam perjumpaan Persatuan Astronomi Amerika Syarikat ke-229 pada awal tahun ini, pelajar itu membentangkan penemuan pasukannya dalam satu kertas kerja bertajuk 'Black Holes, Green Galaxies, Old Stars and NuSTARs'.


0 comment... add one now