Penuntut UiTM Dihempap Pokok, Tiada Permohonan Permit Masuk Hutan Dibuat


Berhubung dengan insiden kematian dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam disebabkan dihempap pokok dua hari lepas, difahamkan tiada permohonan dibuat oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) atau pihak penganjur untuk melakukan aktiviti di Lata Charok.

Lata Charok atau dikenali sebagai Air Terjun Ulu Tampik yang terletak dalam Kompartment 51, Hutan Simpan Lentang tidak diwartakan sebagai Kawasan Taman Eko Rimba, jelas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam satu kenyataannya, beliau mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menjalankan sebarang aktiviti riadah atau sukan dalam hutan, mereka perlu mendapatkan permit selain memaklumkan kepada Pejabat Hutan terlebih dahulu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 pagi itu, 2 orang penuntut UiTM Noorain Mohtar, 23, dan Muhammad Kamil Md Sukri, 22, maut dihempap pokok yang tumbang sementara 6 orang lagi cedera, termasuk seorang parah semasa menjalankan aktiviti perkhemahan di kawasan air terjun berkenaan.

Aktiviti yang dijalankan itu melibatkan sebanyak 140 orang penuntut dan 4 orang pensyarah.

Dalam masa yang sama, satu laporan polis telah dibuat dan pihaknya akan bekerjasama dengan anggota polis bagi menjalankan siasatan kes tersebut, beritahu Wan Junaidi.

"Semua pihak sama ada penganjur mahu pun orang perseorangan diharap mengambil iktibar daripada insiden itu dengan mematuhi segala peraturan dan keperluan yang ditetapkan," katanya.


Beliau juga mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terbabit.


0 comment... add one now