Wanita Jadi Tebusan Lebih 2 Jam Diselamatkan Polis

Anggota polis serta bomba berada di lokasi kejadian selepas seorang penjenayah yang menjadikan seorang wanita sebagai tebusan dengan mengacukan pisau di leher menyerah diri setelah dikepung pihak polis di Jalan Damai, Kota Kinabalu
Selepas dijadikan tebusan selama lebih 2 jam oleh seorang penjenayah di Jalan Damai, Kota Kinabalu, seorang wanita berusia 20-an akhirnya berjaya diselamatkan polis.

Mangsa yang dibawa lari oleh suspek pada jam 7.45 malam dari kediamannya di Taman Istimewa, Luyang diselamatkan polis kira-kira jam 9.35 malam.

Sebelum kejadian berlaku, suspek berusia 27 tahun dipercayai masuk ke dalam sebuah rumah untuk merompak di taman itu, jelas Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abdul Rahman.

Setelah mendapat maklumat mengenai rompakan tersebut, anggota polis terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum terserempak dengan suspek yang kemudian cuba melarikan diri.

Suspek yang dipercayai warga asing itu dalam keadaan terdesak kemudian menarik seorang wanita yang merupakan jiran rumah dirompaknya.

Jirannya itu kebetulan berada di luar rumah semasa itu, sebelum melarikan diri bersama wanita itu.

Dalam sidang media yang diadakan semalam, George mengatakan suspek mengheret mangsa sehingga ke Jalan Damai sejauh kira-kira 1.5km dengan mengacu sebilah pisau sepanjang 15cm di leher mangsa.

Selepas membuat rundingan lebih satu jam dengan suspek, mangsa berjaya diselamatkan.
Beritahunya lagi, "Suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.”

Mangsa dirawat di Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) dan setakat ini keadaan mangsa agak trauma.

Selain pihak polis, kenderaan bomba dan ambulans juga bersedia di tempat kejadian.


Suasana di Jalan Damai agak sesak dengan orang ramai yang mahu mengetahui kejadian berkenaan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1968 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


0 comment... add one now