Amalan Rasulullah Pada Bulan Ramadhan



10 Amalan Rasulullah Dalam Bulan Ramadhan 


Ramadhan merupakan bulan suci yang dipenuhi dengan keberkatan dan rahmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya dan lebih baik daripada 1000 bulan. 

Golongan yang mensia-siakan peluang untuk berebut melakukan amal ibadah sepanjang bulan Ramadhan ini bahkan membiarkan peluang ini pergi dengan begitu sahaja sangatlah rugi.

Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW banyak menunjukkan contoh untuk kita sebagai umat Islam mengamalkan ibadah sunat dalam bulan Ramadhan mulia ini. 

Amalan-amalan yang dianjurkan untuk kita perbanyak selama bulan suci ini ialah: 


# BERSAHUR


Selain dapat mengekalkan tenaga untuk berpuasa pada keesokan harinya, bersahur juga dapat memberi ganjaran pahala dan perkara ini paling penting dalam ibadah puasa. 


“Bersahurlah kalian, kerana pada santap sahur itu ada keberkahan.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



# SEGERAKAN BERBUKA PUASA


Rasulullah SAW bersabda:


“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


# BERTADARUS & KHATAMKAN AL-QURAN


Bulan Ramadhan ialah bulan di mana Al-Quran diturunkan dan membaca Al-Quran sudah sinonim dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak.


Justeru, sepatutnya kita menghidupkan amalan bertadarus dan mengkhatamkan Al-Quran pada bila-bila masa kerana amalan ini menjadi pengisian utama Baginda Rasulullah SAW dan para solihin.



#SEBARKAN KEBAIKAN


Raslulullah SAW menjadikan waktu bulan Ramdhan sebagai waktu untuk menjalankan dakwah. 

Pada waktu ini juga sesuai untuk kita jadikan sebagai cara untuk mengajak orang melakukan ke arah kebaikan. 

Ramai pada waktu ini yang sedang cuba untuk berubah ke arah kebaikan, oleh itu, menjadi lebih mudah untuk orang menyahut seruan kebaikan ini.


“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah dari yang munkar ; merekalah orang-orang yang beruntung.”

(Al-Imran: 104)



#BERI MAKANAN BERBUKA PUASA KEPADA ORANG LAIN



“Barang siapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.”


(Hadis Riwayat Nasa’i dan Tirmidzi)


Amalan ini dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan sangat elok sekali untuk dijadikan ikutan dalam bulan mulia ini.



#SOLAT TARAWIH 


Solat tarawih ialah ibadah sunnah yang hanya dilakukan dalam bulan Ramadhan dan boleh dilakukan secara berjemaah di masjid atau secara bersendirian di rumah. 


Rasulullah SAW juga mendirikan solat Tarawih serta pernah mendirikan solat sunat tarawih secara berjemaah dan bersendirian.



#BERTAUBAT


Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Allah SWT membuka seluas-luasnya pintu keampunan kepada semua hambaNya. 


Justeru, bulan ini sungguh sesuai sekali untuk dijadikan waktu untuk bertaubat kepada Allah SWT. 



#BERIKTIQAF 


Iktiqaf bermaksud perbuatan berdiam diri di masjid dengan niat beribadah kepada Allah SWT.


Baginda Rasulullah SAW sering beriktiqaf pada awal, pertengahan dan 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan.


Bukan itu sahaja, Baginda juga amat kerap beriktiqaf di luar bulan Ramadhan. 


Imam az-Zuhri berkata:


“Aneh benar keadaan orang Islam, mereka meninggalkan iktikaf padahal Rasulullah tidak pernah meninggalkannya sejak beliau datang ke Madinah sampai beliau wafat.”



#HIDUPKAN MALAM LAILATUL QADAR 


Terdapat satu malam yang memang istimewa yang hanya ada dalam bulan Ramadhan iaitu malam Lailatul Qadar. 

Kebaikannya melebihi kebaikan 1000 bulan. 


Baginda Rasulullah SAW menjaga 10 malam-malam terakhir dengan bersungguh-sungguh demi mendapatkan Lailatul Qadar. 


Baginda meminta kita mencari malam penuh istimewa itu pada setiap malam ganjil 10 terakhir Ramadhan. 



Sabda Rasulullah SAW:


“Barangsiapa yang melakukan ibadah salat di malam Lailatul Qadar berdasarkan iman dan ihtissab, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”


(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



#MENGERJAKAN UMRAH 



Sangat besar dan berlipat kali ganda pahala yang diperoleh bagi mereka yang mengerjakan umrah dalam bulan Ramadhan. 


Rasulullah SAW berkata kepada Ummu Sinan,


“Apabila datang bulan Ramadhan, hendaklah ia melakukan umrah, kerana nilainya setara dengan haji bersama Rasulullah SAW.”


(HR. Bukhari dan Muslim)


Kesimpulannya, sebagai umat Baginda, kita hendaklah mengikuti amalan-amalan yang ditunjukkan oleh Baginda sepanjang bulan mulia ini agar memperoleh Ramadhan yang lebih bermakna. 



Diharapkan setiap amalan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini dan pada masa akan datang sentiasa diterima oleh Allah SWT. 


0 comment... add one now