Pegawai Kadet Laut Maut Didera Dengan Seterika Wap Di Dada, Tangan Dan Kaki




Seorang pegawai kadet laut tahun tiga yang menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjadi mangsa kepada rakan-rakannya kerana dipercayai didera dengan seterika wap.







Mangsa, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang berusia 21 tahun telah meninggal dunia dan memiliki kesan melecur akibat ditekap dengan menggunakan seterika wap pada bahagian dada, tangan dan kakinya.







Selaras dengan itu, dalam akaun Twitter Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, beliau turut meluahkan perasaan sedihnya dengan berita kematian mangsa.













“Innalillah… sedih dan pilu pagi ini dengar berita kematian Pegawai Kadet Laut @upnm, Zulfarhan Osman bin Zulkarnain. Al Fatihah.




“Saya telah arahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan UPNM untuk jalankan siasatan dengan kadar segera. Tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah, ” beritahunya.




Menurut ayah mangsa yang masih terkejut dengan perkara yang terjadi kepada anak lelakinya itu, beliau menceritakan pernah mendengar luahan hati mangsa kepada ibunya mengatakan sering dipukul oleh rakan-rakannya di univerisiti.




Akan tetapi, mereka menyangka perkara itu tidak begitu serius.




"Arwah merupakan anak harapan kepada keluarga ini dan tidak sangka dia meninggalkan kami dalam keadaan begini.”




Tambahnya lagi, "Kami redha degan pemergiannya namun meminta pengurusan UPNM dan Angkatan Tentera Malaysia untuk menyiasat kejadian ini dengan telus dan adil.”




Semasa di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, bapa mangsa melihat kesan melecur pada bahagian dada, tangan dan kaki jenazah akibat ditekap dengan seterika wap sebelum mayatnya dibedah siasat.




Dalam pada itu, bagi membantu siasatan kes kematian pelajar tersebut, sebanyak 36 orang individu berusia antara 20 sehingga 21 tahun direman selama tujuh hari.




Zulfarhan pada pukul 10 malam disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang setelah dibawa beberapa rakannya bagi menerima rawatan mengenai kecederaannya di situ.




Semoga ahli keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini dan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.


0 comment... add one now