Diterkam Harimau, Anjing Datang Membantunya

Seorang lelaki, Fridio Gelija berusia 28 tahun tidak menyangka akan diterkam dan dicakar dengan seekor harimau setelah membuang air besar berdekatan Sungai Rasau semalam di Kuantan. 

Sewaktu itu, dia yang sedang melakukan rondaan bersendirian menaiki motosikal di tapak perlombongan bauksit juga membawa dua ekor anjing bersama-samanya di hutan berdekatan kawasan perindustrian Gebeng.

Diceritakan semasa menemuinya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kelmarin, dia terasa ingin membuang air besar lalu memberhentikan motosikalnya di kawasan berhampiran Sungai Rasau.

“Saya ada dengar bunyi anjing menyalak, tiba-tiba kaki saya diterkam seekor haiwan berwarna oren berbelang-belang dan tinggi separas pinggang yang gigit kaki saya.

“Untuk selamatkan diri, saya pukul haiwan itu dengan tangan kiri, kemudian ia gigit tangan kiri. Saya terus berusaha lepaskan diri dan harimau itu gigit tangan kanan saya. 

“Bila harimau itu gigit tangan kanan saya agak lama, saya berusaha buka mulutnya dengan tangan kiri, selepas beberapa minit saya bertarung, dua anjing mengikuti saya datang bantu selepas dengar jeritan saya.”


Detik cemas yang dirasakan oleh pekerja Sabahan itu apabila melihat dirinya berlumuran dengan darah lalu terus bergegas melarikan diri dengan sekuat hati daripada harimau liar itu bagi mendapatkann bantuan.


“Saya lari menuju ke rumah pekerja. Adik saya masa tu terkejut lihat saya terus menghubungi majikan dan membawa saya ke hospital,” katanya.

Walaupun menerima kira-kira 10 jahitan dan ditempatkan di wad bagi pemantauan, dia berkata bahawa dia tetap akan terus menyambung pekerjaannya di situ walaupun terdapat harimau di kawasan tersebut.         

Katanya, dia terpaksa bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup dan menyara kehidupan keluarganya.

“Ini saja kerja yang saya ada. Saya kena bekerja, kalau tak susah hidup saya,” katanya.
Ketika Timbalan Pengarah Perhilitan Pahang, Mohd Zaide Mohamad Zin dihubungi semalam berkata pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu. 

Beliau berkata, siasatan masih dilakukan berhubung kejadian, namun pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada haiwan yang menyerang mangsa itu ialah harimau.

“Kami terima aduan tengah hari tadi dan cuba bertemu mangsa petang ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut.


“Esok (hari ini) pihak kami akan ke lokasi dan buat siasatan di kawasan sekitar lokasi kejadian,” katanya.


0 comment... add one now