Garis Panduan Bagi Pengusaha 'Food Truck' Di Malaysia

Bagi menyelaraskan dan menyeragamkan semua pengusaha ‘food truck’ atau premis bergerak trak makanan di negara ini, Kementerian Kesihatan akan mewujudkan garis panduan tertentu yang harus dipatuhi kerana operasi ‘food truck’ di negara kita dikatakan tidak seragam menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, semalam.
Jelas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bagi penyediaan garis panduan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Memandangkan operasi ‘food truck’ yang disifatkan tumbuh seperti cendawan selepas hujan kerana diminati oleh ramai golongan muda, operasi itu tidak mempunyai garis panduan berkaitan sewa, yuran, penetapan harga makanan dan lokasi bersesuaian.

Selaras dengan itu, bengkel khusus akan diadakan melibatkan wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengusaha premis makanan bergerak berhubung dengan langkah penyeragaman itu.
Selain itu, kementerian juga telah mengiktiraf 18 pengusaha ‘food truck’ sementara 68 lagi pengusaha ‘food truck’ yang lain sedang diberi bimbingan ke arah pengiktirafan piawaian berkenaan susulan usaha pelaksanaan pengiktirafan BeSS yang melibatkan pengusaha premis makanan bergerak di seluruh Malaysia, tambah Dr Noor Hisham.
Pengusaha premis outlet ‘food truck’ diwajibkan untuk mendaftar dengan Kementerian Kesihatan melalui laman web http://fosimdomestic.moh.gov.my mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Jika gagal untuk mendaftarkan premis, mereka akan didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun.



0 comment... add one now