Kerana Menegur Lelaki Hisap Rokok Di Stesen Minyak, Polis Ditikam


Akibat hanya menegur perbuatan seorang lelaki yang menghisap rokok di sebuah stesen minyak, seorang pegawai polis mengalami kecederaan di paha kerana ditikam lelaki berkenaan hari ini di Jalan Plumbum, Seksyen 7.

Anggota polis yang berusia 32 tahun itu, Koperal Mohamad Azli Hashim, dari unit Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor singgah di stesen minyak itu setelah menghantar seorang pegawai menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Shah Alam (HSA) pada pukul 9 pagi, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat.  

Tambahnya lagi, lelaki yang menghisap rokok itu buat endah tak endah atas teguran yang diberikannya lalu beredar ke arah motosikalnya.

Kemudian, anggota polis itu mengekori suspek dan pergelutan yang berlaku di antara mereka di mana suspek menggunakan senjata tajam menikam paha polis itu.  

Setelah kejadian itu berlaku, suspek kemudian yang menaiki sebuah motosikal Yamaha LC 135 dengan nombor pendaftaran BLY 1691 melarikan diri.

Orang awam di sekitar itu terus menghantar mangsa ke HSA dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya lagi, saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil bagi membantu pihak polis sementara gerakan memburu suspek giat dijalankan.


0 comment... add one now