Nantikan Model Baharu Perodua


Memandangkan pasaran minyak dunia pada hari ini tidak menentu dan harga minyak Malaysia jelas sekali terjejas kelihatan apabila harga minyak naik turun hampir setiap minggu. Oleh sebab itu, Perusahaan Automobil Kedua (Perodua) mengambil inisiatif untuk memperkenalkan model-model baharu kenderaan jimat minyak (EEV).

Selain itu, langkah yang diambil oleh syarikat ini adalah supaya dapat bersaing dalam segmen kereta kompak menerusi rancangan lima tahun 2017-2021. Perancangan ini juga bagi melengkapkan permintaan terhadap kereta kompak jimat minyak, kata Mohd Saifuzzaman Mohammad iaitu selaku Pemangku Pengurus Besar Kanan Perodua Manufacturing Sdn Bhd. 

Ditanyakan mengenai bagaimana wajah model baharu ini, pengurus besar memberitahu bahawa model yang akan dikeluarkan tidak dapat didedahkan lagi kepada umum pada masa ini kerana ini merupakan strategi perniagaan namun masyarakat tidak perlu risau kerana model-model baharu tersebut akan lebih berkualiti, murah, lancar dan yang paling penting jimat minyak.

Selaras dengan itu, beliau ditemui di Kampus Uniciti, Sungai Chuchuh setelah melakukan penyerahan rasmi 5 unit mesin perkomputeran (CNC) terpakai pembuatan engin kereta kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Beliau menambah lagi, fungi asas mesin CNC yang disumbangkan itu dapat digunakan dalam jangka masa panjang dalam bidang industri automotif dan ini sangat relevan. Jelasnya lagi, “Kami telah memiliki beberapa mesin baharu bagi mengeluarkan model baharu, namun mesin ini sangat berguna untuk tujuan pendidikan kerana pelajar dapat menyesuaikan diri dengan bidang yang diceburi kelak.”  

Mohd Saifuzzaman juga dalam kenyataannya memaklumkan mesin baharu bernilai antara RM800, 000 dan RM1.3 juta seunit tetapi harga terpakai termasuk kos penghantaran hanya memakan kos RM330, 000. 

Zul Azhar mengatakan bahawa nilai kebolehpasaran graduan UniMAP dapat ditingkatkan sekaligus latihan praktikum dapat dijalankan dalam suasana sebenar industri automotif sejak hubungan strategik antara UniMAP dengan Perodua dijalinkan lima tahun yang lalu.

Naib Canselor tersebut juga berharap dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan UniMAP pada masa akan datang untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan kerana dengan cara ini dapat melahirkan graduan yang holistik, relevan dan lebih bersaing.

Hal ini demikian kerana mereka berupaya untuk menerap nilai-nilai yang diperlukan oleh industri menerusi latihan amali.




Tidak lupa juga, model Bezza dan model Axia yang menerima penarafan lima bintang ASEAN NCAP serta mendapat sambutan hangat pembeli akan diperbaiki lagi bagi memenuhi citarasa pembeli kata Mohd Saifuzzaman. 


0 comment... add one now