Pasangan Suami Isteri Terkejut Mendapat Tahu Mereka Adik-Beradik Kembar

Sepasang suami isteri di luar negara terkejut apabila mendapat tahu bahawa mereka merupakan kembar adik-beradik kandung. Hal ini diketahui semasa mereka menerima keputusan ujian DNA yang dilakukan di klinik IVF sekitar Mississippi.

Doktor yang dirahsiakan identitinya berkata, “Semasa proses dijalankan, kami mengambil sampel DNA daripada kedua-dua pasangan itu untuk mendapatkan profil latar belakang genetik mereka. Kerja-kerja mengambil sampel DNA merupakan rutin harian kami untuk melihat hubungan antara kedua-dua sampel yang diambil.” 

Akan tetapi, dalam kejadian ini, pembantu makmal yang bertugas berasa sangat terkejut melihat persamaan dalam kedua-dua sampel DNA tersebut. Doktor itu kemudian berpendapat bahawa mereka mungkin sepupu kerana hal ini sering terjadi kepada pasangan-pasangan sebelum ini. 


Namun demikian, setelah memeriksa fail pasangan itu, didapati mereka memiliki tarikh hari lahir yang sama iaitu pada tahun 1984. Beliau mengambil keputusan untuk membongkarkan perkara tersebut kepada pasangan itu walaupun agak sukar untuk memberitahu mereka pada awalnya. 

Apabila ditanyakan sama ada mereka berdua merupakan kembar,  pasangan itu hanya bergelak tawa sesama sendiri lalu si suami mengatakan ramai yang beranggapan begitu kerana mereka berkongsi tarikh lahir yang sama dan juga kelihatan seiras, namun si suami menafikan dengan alasan bahawa itu semua hanya kebetulan sahaja. 

Pasangan tersebut mula bertemu buat kali pertama di kolej dan kedua-duanya telah dijadikan anak angkat setelah kematian ibu bapa mereka yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Disebabkan
kesilapan dalam memfailkan butiran peribadi, keluarga angkat masing-masing  tidak mengetahui akan kewujudan kembar anak angkat mereka.

Setelah diberitahu tentang kebenaran hasil ujian sampel DNA itu, mereka akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya adik-beradik kembar. Pasangan itu masih dalam pertimbangan tentang jalinan hubungan mereka.


0 comment... add one now