‘Tadika Tanpa Tembok’ Wujudkan Suasana Pembelajaran Baharu


Tadika yang dibina tanpa memerlukan tembok dalam suasana kehijauan alam dikelilingi puluhan pokok yang meredupkan persekitaran selain mencantikkan pemandangan mencetuskan idea revolusi baharu yang dicipta oleh arkitek terkenal di Tokyo, Jepun bernama Takaharu Tezuka pada 2007. 

Kebiasaannya, tadika yang seringkali kita lihat dibina di dalam bangunan komersial mahupun lot dalam kawasan perumahan yang mencirikan pendidikan secara formal yang berkonsepkan bilik darjah. Namun, arkitek terkenal ini mewujudkan suasana pembelajaran yang unik  di Fuji Kindergarten di mana hanya sedikit sahaja mempunyai dinding atau bangunan dan dikelilingi pokok hijau. 


Lebih menakjubkan, idea tersohor arkitek ini merupakan yang pertama kali dibina di dunia kerana tiada tadika seumpama ini terdapat di mana-mana negara lain. Selain itu, konsep binaan seperti ini dapat memupuk sifat menghayati alam semula jadi dalam diri kanak-kanak kerana persekitaran bebas diwujudkan yang membolehkan si kecil tidak terbatas berlari sambil melihat pohon-pohon yang menghijau di sekitar mereka. 

Secara tidak langsung,  kanak-kanak dapat bergerak dengan bebas sekaligus menjadikan mereka bergiat aktif. Konsep seni bina bangunan tadika ini dibina dengan konsep terbuka di tengah-tengah, berbentuk bujur dengan hanya 2 tingkat. Aras bawah dijadikan bilik darjah dengan paras yang rendah manakala aras dua dibiarkan kosong. 


Satu pohon besar diletakkan di bahagian tengah dengan sekelilingnya dipenuhi seni bina artistik, unik dan tidak menjejaskan keindahan semula jadi.Kanak-kanak di sini diterapkan amalan yang memupuk sikap berdikari kerana mereka diajar bercucuk tanam, membasuh pinggan mangkuk sendiri serta mengemas bilik darjah yang jelas sekali tidak tertumpu hanya pada bidang akademik. 


Tezuka menambah lagi, terdapat sebab mengapa rekaan seni bina dibuat begitu kerana apabila kanak-kanak diletakkan dalam suasana kelas yang senyap dan tertutup, mereka akan berasa gemuruh dan takut untuk menonjolkan diri. 


Sebaliknya apabila berada dalam keadaan sebegini, kanak-kanak akan bebas bergerak ke sana ke mari tanpa ada halangan sekaligus lebih berkeyakinan untuk berinteraksi tanpa sempadan dengan orang sekeliling.


0 comment... add one now